Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memohon maaf berikutan beberapa insiden dan kejadian yang membabitkan rakyat China yang membabitkan pegawai kerajaan Imigresen dan polis.

"Jika ada beberapa insiden membabitkan rakyat China dan kejadian-kejadian itu disebabkan oleh pegawai kerajaan sama ada Imigresen atau pegawai polis, kami memohon maaf untuk itu," katanya.

Perdana Menteri berkata, tindakan pegawai-pegawai seperti itu tidak mewakili sikap kerajaan atau perkhidmatan awam terhadap warga China yang melawat Malaysia.

Beliau memberi jaminan bahawa Malaysia tidak mempunyai dasar mendiskriminasi rakyat China yang berkunjung ke Malaysia.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, hakikatnya, menggalakkan mereka supaya datang ke negara ini.

Klip video

"Kami mahu mereka datang," katanya dalam sidang media yang dihadiri oleh media Malaysia dan antarabangsa yang membuat liputan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang berakhir di Valletta (Malta), semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung kejadian rakaman video seorang wanita, dipercayai warga China, yang diarahkan membuat ketuk-ketampi oleh anggota polis wanita dalam keadaan berbogel.

Rakaman itu diambil menggunakan telefon bimbit dan ditayangkan semula menggunakan komputer riba Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen baru-baru ini.

Sebaik sahaja sidang media tersebut, Abdullah berlepas pulang ke Kuala Lumpur.