Lawatan Azmi ke China ditangguhkan
Terjemahan Beijing mungkin akan menangguhkan lawatan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid berikutan pendedahan rakaman video seorang wanita, dipercayai warga China, yang diarahkan melakukan ketuk-ketampi oleh anggota polis wanita dalam keadaan berbogel.
Terjemahan Beijing mungkin akan menangguhkan lawatan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid berikutan pendedahan rakaman video seorang wanita, dipercayai warga China, yang diarahkan melakukan ketuk-ketampi oleh anggota polis wanita dalam keadaan berbogel.
Manakala DAP pula mendesak Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan (foto) supaya meletakkan jawatan berhubung kejadian tersebut.
Akhbar Sunday Star memetik Azmi sebagai berkata, rakan sejawatannya dari China telah meminta supaya lawatannya ditangguhkan "bagi menyelesaikan isu tersebut terlebih dahulu".
Azmi dijadual mengadakan lawatan seminggu ke China mulai Rabu ini atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelbagai insiden yang membabitkan rakyat China.
Menurut laporan akhbar Sunday Star lagi, lawatan tersebut telah ditangguhkan sehingga 20 Disember depan.
'Letak jawatan'
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok (foto), berkata penangguhan lawatan Azmi itu telah diduga berikutan kejadian tersebut yang menurutnya telah mencemarkan imej Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam.
"Kerajaan China amat memandang berat kejadian tersebut. Saya agak mereka mahu melihatkan tindakan lebih tegas diambil oleh Malaysia sebelum Azmi melawat negara itu," katanya.
Menurutnya, ramai rakyat Malaysia yang marah terhadap kejadian tersebut dan menuntut supaya pegawai polis terbabit dikenakan hukuman sewajarnya.
DAP pula menggesa Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan supaya meletakkan jawatan selepas beliau berkata pihak polis sedang mengesan orang yang membuat rakaman tersebut, bukannya anggota polis wanita terbabit.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mendakwa, kenyataan Musa itu bercanggah dengan ikrar Perdana Menteri supaya tiada siapa pun dilindungi berhubung kejadian tersebut, dan oleh itu beliau (Musa) harus melepaskan jawatannya sebagai timbalan ketua polis negara.
Lim berkata, DAP akan membawa usul supaya kejadian tersebut dibincangkan di sidang Parlimen hari ini.
Zaid: siasat kenyataan Musa
Sementara itu, Ahli Parlimen dari Umno, Datuk Zaid Ibrahim, berkata, Perdana Menteri yang turut bertanggungjawab terhadap pasukan Polis, mesti menyiasat kenyataan Musa itu.
Beliau berkata, jika kenyataan Musa itu didapati mengingkari arahannya, maka Perdana Menteri mesti mengambil tindakan terhadap timbalan ketua polis negara itu.
Foto daripada klip video yang menunjukkan seorang tahanan wanita, yang dipercayai rakyat China, yang dipaksa melakukan ketuk ketampi sambil diperhatikan oleh seorang anggota polis wanita, disiarkan di muka depan akhbar-akhbar utama.
Sebelum ini, Musa berkata siasatan segera akan dijalankan dan dijangka siap hari ini.
Klip video itu tercetus selepas empat rakyat China ditahan oleh pihak polis awal bulan ini kerana didakwa memiliki dokumen perjalanan palsu.
Mereka juga mendakwa dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi ketika dalam tahanan, tetapi menafikan yang wanita dalam klip video itu adalah salah seorang daripada mereka.
Julai lalu, pusat peranginan Genting Highlands terpaksa memohon maaf kepada beratus pelancong China selepas kakitangan hotel tersebut bersikap 'biadap' dengan melukis gambar babi pada bekas kunci bilik mereka.
Klik di sini untuk melihat klip video. Lebih baik dengan sambungan broadband.

