Exco Pemuda Umno Malaysia Shahrul Nasrun Kamaruddin mempersoalkan tindakan Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer di Dewan Rakyat yang disifatkannya sebagai "biadab dan kurang ajar".
Shahrul berkata demikian sebagai merujuk tindakan Rayer di Dewan Rakyat semalam yang antara lain menggunakan perkataan 'kepala bapak' sehingga diberi amaran oleh Timbalan Speaker Nga Kor Ming.
Kata Shahrul, kenyataan provokasi seperti itu mencerminkan sikap segelintir anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertentangan dengan peranan Dewan Rakyat sebagai tempat untuk membawa isu dan permasalahan rakyat.
"Dari sikap kurang ajar dan biadab Rayer, adakah anggota Parlimen Jelutong ini sedar dirinya bergelar Ahli Yang Berhormat. Adakah Rayer tahu lagak samseng yang ditunjukkan boleh menyebabkan rakyat hilang rasa hormat kepada wakil rakyat?
"Rayer wajib tahu dirinya dipilih bagi membawa suara rakyat bukannya untuk menunjukkan kejantanan atau keberanian apatah lagi menghina pihak lain di dalam Dewan Rakyat.
"Sekiranya Rayer benar-benar mahu menunjukkan kejantanan, saya sarankan Rayer melepaskan jawatan anggota parlimen Jelutong dan sertai perlawanan Ultimate Fighting Championship (UFC). Saya pasti ramai yang inginkan Rayer sebagai sparring partner mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian semalam di Dewan Rakyat, Rayer diarahkan oleh Nga untuk menarik semula kenyataannya yang dipercayai ditujukan kepada BN.
Anggota parlimen DAP itu dilaporkan menggunakan istilah berkenaan ketika membangkitkan isu penghawa dingin yang rosak di ibu pejabat polis Timur Laut di Pulau Pinang dan menyalahkan BN sebagai "gagal" menjaga polis dan tentera.
