Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Arahan supaya lantikan politik lepaskan jawatan di lebih 100 firma MOF'
Diterbitkan:  Aug 1, 2018 11:32 AM
Dikemaskini: 4:59 AM

Lebih ramai eksekutif kanan syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dijangka melepaskan jawatan masing-masing, termasuk mereka yang berada dalam lembaga pengarah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Memetik sumber, The Star Online melaporkan Putrajaya telah memberikan "arahan yang jelas" kepada semua ahli lembaga pengarah lantikan politik dalam syarikat berkenaan untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, penjawat awam tidak dikehendaki berbuat demikian.

"Arahan ini meliputi lebih 100 syarikat di bawah MKD dan termasuk syarikat seperti KTMB serta MRL.

"Lembaga pengarah hanya akan memiliki dua atau tiga pengarah bagi mengekalkan korum," kata sumber kepada akhbar harian itu.

150 Syarikat milik langsung 

Menurut laman Perbendahaan, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD)  adalah pemegang saham majoriti dalam 68 syarikat. MKD juga memiliki 150 syarikat melalui pemilikan langsung.

Syarikat lain yang disebut laporan itu ialah Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Prasarana Malaysia dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Pengerusi KTMB sekarang adalah pemimpin Umno, Datuk Nawawi Ahmad, yang tewas pada pilihan raya menentang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi kerusi Langkawi.

Bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah menjadi pengerusi MRL, manakala bekas speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mempengerusikan IWK.

Bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan telah melepaskan jawatan sebagai pengerusi Prasarana.

Anggota Parlimen Umno untuk kerusi Mersing Datuk Abdul Latiff Ahmad menjadi pengerusi SPNB.

Malaysiakini telah menghubungi kesemua syarikat-syarikat berkenaan bagi mendapatkan ulasan.

Dijangka bubar entiti MKD

Menurut laporan itu lagi, peletakan jawatan ini dijangka mencipta 700 kekosongan jawatan tetapi kerajaan mungkin tidak mahu kesemua jawatan tersebut.

"Terdapat beberapa penggantian tetapi tidak semua jawatan dalam lembaga pengarah yang akan diisi," kata sumber, petik laporan itu.

Selanjutnya, laporan itu mendakwa kerajaan Pakatan Harapan sedang berusaha membubarkan beberapa entiti, termasuk MOF Inc, syarikat pembangunan koridor selatan, utara, timur dan Sabah.

Minggu lalu, sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd yang dimilki MKD meletak jawatan bagi "memudahkan peralihan teratur di bawah kerajaan baru".

Mereka digantikan dengan Dr Mahathir dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai salah seorang pengarahnya.

Lihat Komen
ADS