Penumpang maut, dipercayai jatuh di stesen LRT Puchong
Seorang penumpang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh di landasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pusat Bandar Puchong di Kuala Lumpur hari ini.
Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur.
Beliau berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira 8 pagi.
Difahamkan Prasarana Berhad akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan hari ini.
Stesen LRT Pusat Bandar Puchong mula beroperasi sejak 31 Mac 2016.
Ismadi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira 7.51 pagi dan setibanya di lokasi, polis menemui mayat lelaki berkenaan terbaring di landasan LRT.
Tiada dokumen pengenalan diri
Katanya polis juga tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri semasa memeriksa lelaki terbabit.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, kami mendapati lelaki berkenaan dilihat keluar dari tren.
“Mangsa kemudiannya, dilihat turun ke landasan sebelum dilanggar tren serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Ismadi berkata polis masih menyiasat punca kejadian itu sama ada lelaki berkenaan mabuk atau cuba membunuh diri.
“Hasil siasatan polis mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.
- Bernama

