Enam penyokong Parti Keadilan Nasional, termasuk dua wanita, ditahan polis antara empat hingga sembilan jam hari ini berhubung 'Perarakan Kemerdekaan' yang diadakan di bandar Melaka.

Tiga daripada mereka ditahan dalam sekatan jalanraya di plaza tol Ayer Keroh jam 10 pagi. Yusriah Yusof, Maznah Ahmad dan Tan Che Hooi dibawa ke beberapa buah balai polis sebelum dibebaskan jam 7 petang.

Pada mulanya mereka dibawa ke balai Ayer Keroh, kemudian di balai Tengkera sebelum dipindahkan ke ibu pejabat polis daerah-daerah Melaka Tengah dan akhir sekali Alor Gajah.

Mereka dipercayai disiasat berhubung Akta Penerbitan dan Mesin Cetak kerana membawa 950 keping kalendar yang memuatkan wajah-wajah bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan enam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kini dikurung di kem Kamunting, Perak.

Ketiga-tiga itu dibebaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki melapor diri di balai polis Alor Gajah pada 3 September.

Sementara tiga lagi ditahan antara jam 1 hingga 2 petang berdekatan kompleks membeli-belah Mahkota Parade kerana menyebarkan risalah politik, termasuk laporan polis yang dibuat hari ini berhubung rawatan sakit tulang belakang Anwar.

Badrul Hisham Aziz, Kamaruddin Ibrahim dan Rosli Abu dibebaskan dengan jaminan polis jam 5.30 petang.

Kira-kira 50 penyokong Keadilan sebelum itu berarak lebih kurang 3 kilometer dalam beberapa kumpulan kecil dari stesen bas bandar itu ke balai polis Melaka Tengah. Tiga daripada mereka, diketuai peguam Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Pemuda Azman Abdul Majid dan bekas tahanan ISA Abdul Ghani Haroon, membuat aduan polis.

Dalam aduan itu, mereka mendakwa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Pengarah Penjara Datuk Omar Muhammad Dan dan kerajaan didakwa melanggar peruntukan seksyen 43 Akta Penjara dan boleh didakwa mengikut seksyen 59 akta yang sama.

Abdullah dan Omar tidak meluluskan permohonan Anwar, masing-masing dalam surat bertarikh 27 Jun dan 12 Jun, untuk mendapatkan rawatan cakera teranjak (slipped disc) di Jerman.

Seksyen-seksyen 37, 42 dan 43 Akta Penjara membenarkan seseorang banduan dibebaskan dengan jaminan tertentu kerajaan untuk mendapatkan rawatan di luar negara.