Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib takkan sebabkan pengundi beralih arah, kata calon HARAPAN

SG KANDIS | Kemunculan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada kempen pilihan raya kecil Sungai Kandis bagi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam tidak akan  menyebabkan pengundi beralih sokongan.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pengundi di kawasan itu lebih peduli mengenai isu kemudahan asas seperti jalan raya berbanding kempen mengenai isu kaum dan agama yang dibawa calon BN.

"Sepanjang 11 hari kempen saya, rakyat hanya banyak mengadu tentang masalah infrastruktur seperti jalan raya yang perlu diperbaiki.

"Mungkin YB yang lama dia tak sempat untuk melaksanakan agenda reformasi," katanya.

Zawawi berkata HARAPAN juga menumpukan Pusat Daerah Mengundi (PDM) seperti di Kampung Pandan dan Sungai Kandis memandangkan gabungan itu mendapat kurang 40 peratus undi di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum lalu.

"Fokus saya sekarang ini di tempat yang kalah itu Kg Pandan dan Sungai Kandis.

"Jadi kita membawa beberapa isu yang boleh diselesaikan. Seperti petang ini menteri akan turun di Sungai Kandis untuk meninjau masalah infrastruktur di Sungai Kandis.

"Kalau untuk PDM Jalan Kebun, Berjaya Park dan Haji Husin, ini adalah kawasan di mana tempat saya bermain dan tempat saya berhubung selalu.

"Saya ada kuliah pengajian di masjid, mereka mengenali saya," katanya ketika ditemui di sebuah kedai sup kambing pada hari ke-11 kempen pilihan raya kecil berkenaan.

HARAPAN memperoleh undi yang lebih kecil berbanding gabungan undi BN dan PAS dalam ketiga-tiga daerah mengundi berkenaan semasa PRU14.

Sementara itu, kempen Lokman di kalangan majoriti Melayu Sungai Kandis memberikan tumpuan terhadap kegagalan pentadbiran HARAPAN melindungi hak-hak Melayu-Islam.

Zawawi bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyatakan beliau sendiri adalah lulusan Universiti Al-Azhar Mesir dan mempunyai pengalaman sebagai guru sekolah tahfiz.

"Saya yakin pengundi tetap akan menyokong saya. Termasuklah pengundi Umno dan pengundi PAS

"Kehadiran siapa pun di Jalan Kebun saya kira tidak mengubah pandangan dan persepsi pengundi," katanya.

Najib dijadual berucap di ceramah di Jalan Kebun malam ini.

Pada PRU14, BN dan PAS meraih 2,079 daripada 3,532 undi di daerah mengundi berkenaan, sementara PKR hanya memperoleh satu pertiga daripada jumlah keseluruhan.

Daripada 2,079 undi, PAS memperoleh 950 undi yang merupakan pencapaian terbaik daripada semua 20 pusat daerah mengundi di Sungai Kandis.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS