Penyusunan Khazanah untuk tingkat pemilikan ekuiti Bumiputera - Azmin
PARLIMEN | Penyusunan pengurusan baharu Khazanah Nasional Bhd akan memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera oleh dana pelaburan strategik negara itu dalam syarikat strategik dipertahankan dan dipertingkatkan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata pegangan ekuiti tersebut dalam syarikat strategik telah dicairkan akhir-akhir ini menyebabkan pegangan dalam syarikat strategik, termasuk syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia dan beberapa syarikat utiliti lain berkurangan.
Katanya dasar memperkasakan Bumiputera akan diteruskan dan diperkukuhkan berdasarkan pencapaian pemilikan ekuiti yang masih rendah seperti yang ditunjukkan oleh indikator sosioekonomi, apabila pemilikan ekuiti sektor korporat masih belum mencapai 30 peratus.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya matlamat itu sejajar dengan tujuan asal penubuhan Khazanah, iaitu menguasai aset-aset strategik kerajaan termasuk syarikat utiliti.
Menjawab soalan Anggota Parlimen Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Jeli) mengenai status Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Ekuiti Nasional Bhd, Azmin berkata peranan Teraju dan organisasi pembangunan Bumiputera seperti Yayasan Pelaburan Bumiputera dan Ekuinas akan dinilai semula bagi tujuan penyelarasan dan supaya pengurusan lebih berkesan dan mencapai matlamat asalnya.
"Cadangan cara menjalankan perniagaan Bumiputera ditambah baik, diperkemaskan supaya lebih holistik dan tuntas agar penyertaan Bumiputera kekal signifikan dalam pembangunan ekonomi Bumiputera," katanya.
Katanya kementerian turut mengenal pasti bidang pertumbuhan baharu untuk diceburi selain bantuan dan bentuk kerjasama strategik yang boleh dijalin bagi menyokong agenda pembangunan Bumiputera.
– Bernama

