Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo memaklumkan pihaknya sudah memulakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membuka persaingan kepada monopoli Telekom Malaysia (TM).

"Saya telah mulakan perbincangan dengan TNB. TNB boleh menggunakan infrastruktur fiber mereka yang sedia ada, terutama di semenanjung.

"Jadi saya telah adakan perbincangan dengan TNB supaya mereka boleh jadi satu pembekal infrastruktur besar," katanya dalam sesi soal jawab di parlimen hari ini.

Gobind berkata demikian sebagai menjawab Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) yang bertanya tentang kemungkinan TNB menyediakan perkhidmatan jalur lebar untuk memecahkan monopoli TNB.

Untuk rekod, ketika ini, meskipun terdapat pembekal perkhidmatan internet fiber lain seperti Time, liputan perkhidmatan mereka terhad dan tidak mampu mencabar liputan meluas TM.

Syarikat elektrik menggunakan rangkaian fiber untuk menghubungi dan mengawal rangkaian elektrik mereka, yang juga membolehkan infrastruktur itu digunakan untuk tujuan lain.

Selain itu, TNB juga menyediakan elektrik untuk menjana kuasa bagi menara telekomunikasi oleh syarikat lain, yang membolehkan mereka menggunakan infrastruktur itu.

Mengulas perkara itu, Gobind berkata beliau lega kerana TNB dan TM sudah menamatkan perjanjian persefahaman (MOU) agar kedua-dua syarikat tidak perlu bekerjasama di bawah satu entiti dalam menyediakan rangkaian internet fiber negara.

"Jika MOU antara TM dan TNB diteruskan, ia akan menyebabkan monopoli besar dan itu merupakan masalah yang kita perlu elakkan.

"Tanpa MOU, mereka boleh bersaing kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

"Hala tuju kementerian saya adalah untuk kita tengok kalau boleh TNB juga menceburi bidang telekomunkasi," katanya.

Gobind bagaimanapun menegaskan pihaknya hanya membincangkan perkara itu dengan TNB dan sebarang keputusan perlu diambil dan diumumkan TNB sendiri.

[Baca berita asal]