Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan mencadangkan kepada Kabinet untuk mewajibkan ahli Parlimen memakai batik dan songket sebagai pakaian formal di Parlimen bagi merancakkan industri tekstil itu di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, cadangan itu, yang akan dibentangkan akhir tahun ini, turut mewajibkan kakitangan awam memakai batik dan songket di majlis rasmi tertentu.

Secara amnya, kertas cadangan itu meliputi industri seni dan tekstil, khususnya batik dan songket, termasuk satu kempen pemasaran menyeluruh bagi mengembangkan industri itu di dalam dan luar negara, katanya selepas melancarkan Portal kementerian itu hari ini.

Menurut Bernama, selain itu, kementerian berkenaan juga mahu dikikis persepsi bahawa pemakaian batik dan songket hanya untuk golongan kaya sahaja.

"Sehubungan itu, saya berharap para pengusaha mempelbagaikan jenis batik dari sutera Cina yang mahal kepada kapas biasa, agar masyarakat umum mampu untuk menggunakannya di majlis tertentu," katanya.

Pameran kraftangan

Sementara itu, Rais berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mempamerkan kraftangan, makanan dan produk pelancongan negara di England April depan.

"Usaha ini bertujuan untuk memperkenalkan seni, warisan dan produk pelancongan Malaysia pada mata dunia... Sekiranya pameran ini mendapat sambutan, pameran sebegini akan diadakan di negara-negara lain pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Rais melancarkan Portal KeKKWA yang berwajah baru, lebih berinformasi dan interaktif bertujuan menarik minat pengguna melayari lamanweb tersebut bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kementerian itu.

Lamanweb itu boleh dilayari di www.heritage.gov.my yang memaparkan pelbagai aktiviti kementerian serta skim latihan dan pinjaman untuk memudahkan orang ramai memuat turun borang yang diperlukan.