Azmin jawab dakwaan SPLASH dibeli dengan harga lebih tinggi
Menteri ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menafikan Selangor akan membayar RM2.7 bilion untuk mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) dalam tempoh terdekat.
Sebaliknya, bekas menteri besar Selangor itu berkata, rundingan pengambilalihan masih berjalan.
“Apabila saya tinggalkan kerajaan negeri, proses rundingan telah dilanjutkan sehingga 4 Julai.
“Saya diberitahu bahawa ia telah dilanjutkan untuk sebulan lagi sejak itu dengan mendapat kelulusan kabinet,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.
Semalam, Berita Harian melaporkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa ada pembelian “dalam dua tiga hari ini”.
Anggota parlimen Pekan turut mendakwa seorang 'rakan' pemimpin kerajaan bergelar Tan Sri turut memiliki 30 peratus saham SPLASH ketika ini.
Najib berkata, pembelian itu lebih besar berbanding yang dinyatakan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim beberapa tahun lalu, dengan nilai RM250 juta.
Sementara itu, Azmin berkata, apa yang lebih penting adalah menjaga kepentingan pengguna dengan tidak membebankan kadar tarif yang tinggi bagi membiayai proses pengambilalihan.

