Kontrak baru guru tidak diperlukan, kata Cuepacs
Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengemukakan kontrak akujanji yang baru untuk guru-guru agar berkelakuan baik dan tidak menentang kerajaan.
Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Manan hari ini berkata peraturan pegawai awam dan tatatertib 1993 telah memadai dan tidak memerlukan akujanji baru.
"Tidak perlu satu kontrak lain yang khusus ..." katanya, seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama .
Jabatan atau kementerian yang mendapati terdapat guru atau kakitangan kerajaan melanggar peraturan dan tidak setia boleh diambil tindakan tatatertib mengikut peraturan itu, tambahnya.
Ahad lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Abdul Aziz Shamsudin dilaporkan berkata, kerajaan bercadang mewajibkan guru-guru sekolah menandatangani kontrak bagi memastikan mereka "lebih bertanggungjawab" dalam tugas mendidik pelajar.
Abdul Aziz berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad mengenai cadangan itu bagi membolehkan ia dilaksanakan serentak dengan perjanjian ke atas pelajar dan pensyarah universiti mulai tahun depan.
"Kita juga akan buat perjanjian dengan guru yang baru masuk dan yang sedang berkhidmat selepas ini."
Terdapat kira-kira 284,000 guru sedang berkhidmat dengan kerajaan di seluruh negara.
Musa selepas itu berkata beliau bercadang mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim berhubung penggubalan kontrak berkenaan.
Mengulas saranan kementerian itu, Abdul Rahman berkata kontrak itu - jika dikuatkuasakan - akan menambahkan perasaan tidak berpuas hati dan kekecewaan di kalangan guru dan kakitangan awam terhadap kerajaan.
"Seolah-olah kami dicurigai ataupun tidak dipercayai sedangkan selama ini lebih 98 atau 99 peratus kakitangan awam telah menunjukkan kesetiaan terhadap kerajaan," katanya.
Sistem pendidikan 'ketinggalan zaman'
"(Kami) sama-sama berkorban dalam kegawatan ekonomi, (dan juga) semasa kerajaan menghadapi suasana politik, semasa kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya."
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga tidak menerima saranan itu. Setiausaha Agungnya Datuk N Siva Subramaniam memberitahu malaysiakini Isnin, kontrak itu tidak menjamin guru lebih bertanggungjawab dan dedikasi.
Sebaliknya beliau mencadangkan pengenalan kod etika untuk guru-guru bagi mengatasi isu-isu berkaitan hal itu dan profesionalisme.
Sementara itu, NUTP hari ini menggesa kerajaan melantik sebuah suruhanjaya diraja untuk mengkaji semula sistem pendidikan yang dianggap "ketinggalan zaman" dan gagal menghadapi ancaman gejala sosial.
Siva berkata sistem pendidikan kini mempunyai banyak kecacatan dan mengandungi dasar yang tidak sesuai.
"Kini wujud banyak masalah, VCD (cakera padat video lucah), masalah sosial, lepak dan masalah lain. Semuanya dinafikan oleh Kementerian Pendidikan lima tahun yang lalu. Kini kita dapat melihat sendiri masalah itu," katanya seperti dilaporkan Bernama .
Suruhanjaya diraja yang dicadangkan itu perlu mengkaji semula struktur pendidikan dan merumuskan cadangan mengenai cara untuk meningkatkan mutu pendidikan dan mengatasi masalah sosial di kalangan pelajar.
"Rakyat tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap dasar-dasar Kementerian Pendidikan. Mereka (kementerian) harus merujuk semula kepada rakyat dan mendapatkan cadangan mereka," kata Siva selepas menghadiri forum 'Masalah Sosial di kalangan Pelajar India' anjuran NUTP di Ipoh hari ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.