Isu layanan buruk terhadap warga China semakin hangat. Hari ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeaw mendakwa 32 orang pelancong republik itu ditahan dan didera selama 14 hari ketika berada dalam tahanan Jabatan Imigresen Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurutnya, dakwaan layanan buruk itu telah disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa China di wilayah Fujian, China beberapa hari lalu, setelah pelancong berkenaan mengetahui tentang isu ini yang heboh diperkatakan di negara ini sekarang.

Tiga daripada pelancong China berkenaan mendakwa di dalam aduan mereka kepada akhbar utama di Fujian, Haixia Dushi Bao bahawa insiden itu berlaku ketika mereka melawat Pulau Pinang September lalu.

"Akhbar itu melaporkan secara terperinci pengalaman negeri pelancong berkenaan, mereka didera termasuk berdiri tanpa memakai kasut di atas benda tajam, diarah menyalak seperti anjing dan berbaring di atas lantai," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Chow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, mengikut laporan itu lagi, pelancong berkenaan ditempatkan di dalam sebuah lokap kecil bersama kira -kira 50 tahan lalin.

Katanya, pegawai imigresen juga didakwa meminta wang sogokan sebanyak RM2,000 dan RM3,000 seorang jika mahu dibebaskan.

Menurutnya, pelancong yang cuba melawan akan dipukul selain dikejutkan daripada tidur di antara jam 4 atau 5 pagi.

Hantar memorandum

Berikutan itu, DAP akan menghantar memorandum kepada Jabatan Imigresen Pulau Pinang sebagai membantah tindakan tidak sopan kakitangan jabatan itu terhadap pelancong China berkenaan.

"Kami juga meminta pihak berkenaan supaya mengadakan siasatan rapi bagi mengenalpasti punca kejadian berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, perlakuan melampau polis bukan perkara baru.

Katanya, beberapa tahun lalu polis pernah meminta ibu kepada empat anak berbogel dan membuat ketuk ketampi kerana didakwa terlibat dengan perhimpunan rakyat.

"Penderaan sama pernah berlaku kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelajar Najmi Kamal Amir semasa berada dalam tahanan di Balai Polis Kapar, di Kelang pada 5 Oktober lalu.

Berikutan itu, PKR menggesa kerajaan menubuhkan segera unit Suruhanjaya Bebas Aduan dan Kelakuan Buruk Polis (IPCMC) sebagaimana yang dicadangkan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Polis.