Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
UNISEL: Prof Dr Shaharuddin permata tak ternilai

Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, 55, yang meninggal dunia hari ini, telah memperkenal pelbagai perubahan positif dan dasar baharu sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor di Universiti Selangor (UNISEL).

UNISEL dalam satu kenyataannya di Shah Alam semalam, berkata antara pembaharuan dan dasar baharu dibawa Shaharuddin yang memegang jawatan berkenaan pada 2015 adalah memberi kebebasan kepada pelajar berpolitik dalam kampus dan menyediakan kemudahan kepada pelajar membina rangkaian.

Selain itu, Allahyarham yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, berjaya membentuk sahsiah pelajar menerusi beberapa teras dan memperkenal konsep “LIVES” meliputi kepimpinan, pengantarabangsaan, sukarelawan, keusahawanan dan sukan.

"Beliau juga menubuhkan Pusat Jaringan Komuniti sebagai usaha menjadikan warga UNISEL sebagai warga kampus yang prihatin. Di bawah kepimpinan beliau jugalah UNISEL berjaya menerima Dana Pengantarabangsaan daripada kerajaan Selangor.

“Pelajar diberi peluang membina jaringan antarabangsa di beberapa negara antaranya Indonesia, Brunei, Thailand, Vietnam, Australia, Korea Selatan dan Kazakhstan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, Shaharuddin bagaimanapun meletak jawatan pada 24 Mac lepas, setelah mengambil keputusan untuk memberi fokus sepenuhnya dalam bidang politik dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi kawasan Seri Setia.

“Berita Shaharuddin menghembuskan nafas terakhir hari ini amat memilukan bagi sesiapa sahaja pernah mengenalinya kerana beliau adalah permata yang tidak ternilai harganya,” kata kenyataan itu.

Shaharuddin meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 6.28 petang semalam.

Media sebelum ini melaporkan Shaharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

- Bernama

Lihat Komen
ADS