Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa berkata negara itu tidak ragu-ragu mengenai China mengambil peranan utama di rantau Asia kecuali untuk beberapa perkara.

Beliau menyebut 'formasi terbang sekawanan angsa' bagi menjelaskan dinamik peranan China dan Jepun di rantau ini.

"Seorang profesor China berkata kepada saya Jepun mungkin tidak dapat menerima penguasaan ekonomi China. Jawab saya, bukan begitu keadaannya.

"Ini kerana dalam formasi terbang sekawanan angsa, burung itu akan mengambil giliran siapa yang berada pada kedudukan paling hadapan. Hanya burung yang sihat dan cergas yang berada di hadapan dan jika keletihan, burung itu akan ke belakang.

"Jadi Jepun mencadangkan untuk terbang mengekori China. Dengan cara ini, sekawanan angsa itu dapat terbang dalam masa yang panjang sebelum mereka berhenti dan berehat," kata Miyagawa ketika berucap pada majlis makan malam anjuran beberapa Kelab Rotary di Royal Lake Club malam tadi.

Beliau menjelaskan formasi terbang sekawanan angsa ini sangat logik menurut prinsip (kejuruteraan) aerodinamik kerana formasi itu bertujuan menjimatkan tenaga secara berkesan dan ia memudahkan kawanan burung itu untuk memeriksa setiap daripadanya bagi memastikan tiada yang ketinggalan di belakang.

"(Jadi) kami sangat gembira untuk bersama dengan China tetapi kami ada beberapa persoalan," katanya.

Kekuatan tentera China

Kata Miyagawa, timbul persoalan jika China mungkin mahu menguasai ekonomi negara yang lemah dan menghapuskan ekonomi yang sedang berkembang di beberapa bahagian di rantau Asia.

Beliau berkata hal kedua yang menjadi kesangsian adalah jika China berhasrat menguasai negara Asia lain melalui kekuatan tenteranya.

"China menggalakkan dasar inisiatif One Belt, One Road (OBOR). Saya fikir membelanjakan wang untuk pembangunan Asia adalah sesuatu yang baik berbanding membelanjakan wang untuk membina ketenteraan.

"Tapi ada satu lagi persoalan, jika China membuat hutang terkumpul yang besar (untuk Asia) untuk digunakan sebagai kuasa pengaruh bagi China, ia bukan perkembangan yang sihat," kata Miyagawa.

Beliau juga berkata China dan Jepun memainkan peranan berbeza di Malaysia dan rantau Asean secara keseluruhannya.

Kebanyakan pelaburan dari China menumpukan pada sektor hartanah manakala pelaburan Jepun memfokuskan pada industri pembuatan dan berteknologi tinggi, katanya.

Menurut Miyagawa, walaupun China telah mendahului Jepun sebagai rakan dagang terbesar Asean dan Malaysia, namun Jepun masih di tangga pertama daripada segi pelaburan di rantau ini.

[Baca berita penuh]