Noh kata soal siasat ikut peraturan
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Noh Omar berkata, siasatan dalaman yang dijalankan terhadap insiden tahanan wanita diarah berbogel dan melakukan ketuk ketampi baru-baru ini, mendapati soal-siasat berkenaan dilakukan dengan mengikut peraturan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Noh Omar berkata, siasatan dalaman yang dijalankan terhadap insiden tahanan wanita diarah berbogel dan melakukan ketuk ketampi baru-baru ini, mendapati soal-siasat berkenaan dilakukan dengan mengikut peraturan.
Soal siasat tersebut, katanya, tidak menyalahi undang-undang kerana pihak polis memang dibenarkan menahan dan memeriksa orang tahanan.
Bercakap dalam sidang media di bangunan Parlimen, Noh juga berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan bidang kuasa dan prosidur polis, boleh mengambil tindakan undang-undang.
"Mereka boleh menyaman kerajaan atau polis. Jika peguam dan masyarakat mendakwa undang-undang tersebut tidak betul, samanlah kerajaan dan biar mahkamah tentukan," tegasnya.
Dalam insiden " bogel dan ketuk ketampi " yang didedahkan oleh ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok minggu lalu, rakaman video berkenaan menunjukkan seorang wanita yang sedang disoalsiasat di dalam lokap polis telah diarahkan berbogel dan melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali.
Sementara itu, pagi tadi di Dewan Rakyat, Teresa meminta usulnya berhubung isu rakaman video tersebut yang dikemukakannya pada Jumaat lalu dibahaskan hari ini.
Lim mahu usul dibahas
Bagaimanapun, Speaker, Tan Sri Ramli Ngah Talib menangguhkannya kerana usul yang dikemukakan pada 12 tengah hari Jumaat lalu itu belum memenuhi syarat tempoh 24 jam yang ditetapkan di bawah peraturan Parlimen.
Ramli juga menolak permohonan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang untuk menggantung hak Speaker menangguhkan sidang kerana mahu usul yang dibawa oleh Teresa itu dibahaskan serta-merta.
Beliau berkata, keputusan sama ada Dewan Rakyat menerima atau menolak usul tersebut akan dibuat esok.
Menurutnya, penangguhan ini perlu supaya ahli Parlimen prihatin terhadap perkembangan terbaru.
Dalam pada itu, Noh pula berkata, beliau akan memberi jawaban kepada Parlimen jika usul tersebut diterima.
Jika tidak, katanya, kenyataan akhbar akan dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar.
"Saya tidak boleh jawab soalan anda (wartawan) hari ini kerana jika saya berbuat demikian, tidak ada makna lagi saya jawab dalam parlimen," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.