Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SG KANDIS | Datuk Lokman Noor Adam mendakwa seramai 280 ahli parti Gerakan menyatakan sokongan mereka dan akan mengundinya pada pilihan raya kecil esok.

Lokman berkata walaupun Gerakan tidak sudah lagi bersama dengan BN, beliau yakin ikatan persahabatan di antara Umno dengan mereka sebelum ini akan membantu BN merampas kerusi Sungai Kandis daripada Pakatan Harpaan (HARAPAN).

“Kami ada 280 ahli Gerakan yang telah menyatakan sokongan kepada.

“Walaupun pada dasarnya Gerakan sudah tidak bersama BN, tetapi saya yakin ikatan persahabatan di sini akan menyebabkan mereka membantu kita.

“Jadi, 280 undi Gerakan ini bukan satu perkara yang boleh kita pandang sebelah mata dan ini juga sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian di pejabat Umno Kota Raja.

Mengulas mengenai peluang memenangi PRK esok, Lokman berkata halangannya cuma jumlah peratusan yang akan keluar undi.

“Saya berharap pengundi Melayu dan India turun beramai-ramai, begitu juga rakan-rakan MCA untuk memberi sokongan kepada BN.

“Sekiranya peratus keluar mengundi melebihi 80 peratus, peluang untuk saya menang sangat cerah," katanya.

Tak mendabik dada

Bekas panel pemikir Bahagian Hal Ehwal Khas (JASA) itu juga berpendapat beliau tetap berpotensi menang jika peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding 80 peratus.

Namun katanya ia bergantung kepada siapa yang tidak keluar mengundi itu.

Katanya jika mereka ialah kalangan penyokong HARAPAN yang kecewa terhadap kerajaan, BN masih ada peluang muncul sebagai pemenang.

Berhubung kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PKR ada peluang besar untuk memenangi kerusi Sungai Kandis, Lokman mengakui BN berdepan ‘misi mustahil’ (mission impossible) kerana wakil rakyat sebelum ini mendapat kelebihan sebanyak 12,480 undi.

Lokman bagaimanapun berkata janji 100 hari yang ditabur HARAPAN dan ada yang belum ditunaikan boleh menyaksikan peralihan undi yang drastik.

“Saya nampak akan ada peralihan (undi) yang sangat drastik, cuma sejauh mana peralihan mood rakyat akan membuahkan kemenangan itu, kita tidak pasti.

“Tiada sesiapa boleh mendabik dada mengatakan ia boleh menang dengan mudah. Bagi saya macam-macam kemungkinan boleh berlaku.

“Kita mungkin kalah tipis atau sebaliknya tetapi untuk mengatakan kita akan pasti menang ia adalah sukar dinyatakan begitu,” katanya.

Lihat Komen
ADS