Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH: Gesaan Najib pada pengundi hari ini kesalahan pilihan raya
Diterbitkan:  Aug 4, 2018 9:16 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

PRK SG KANDIS | Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang aktif berkempen untuk BN pada PRK Sungai Kandis membuat gesaan terakhir melalui kenyataan di Facebook hari ini, agar pengundi menolak calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ia bagaimanapun tidak disenangi NGO pilihan raya BERSIH, yang menyifatkan kenyataan itu menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang melarang sebarang bentuk kempen pada hari mengundi.

"Ia kesalahan bawah Seksyen 26(1)(a) dan (f) kerana berkempen di hari mengundi," kata pengarah eksekutif BERSIH Yap Swee Seng ketika dihubungi Malaysiakini.

Seksyen 26 (1)(a) menyatakan tiada sesiapa yang boleh memberi apa-apa bentuk ucapan atau syarahan, sama ada melalui perjumpaan atau tidak, manakala Seksyen 26 (1)(f) melarang mana-mana pihak merayu undi bagi menyokong atau menentang mana-mana pihak dalam apa juga cara.

Dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebooknya pada pukul 7.59 pagi tadi, Najib menggesa pengundi DUN Sungai Kandis menjadikan PRK kali ini sebagai amaran kepada HARAPAN agar tidak mengambil kesempatan atas kemenangan mereka pada PRU lalu.

"Hari ini adalah hari mengundi untuk PRK Sungai Kandis. Hari ini juga penanda bahawa hanya tinggal 14 hari untuk genap 100 hari PRU ke-14. Tetapi berapa daripada sepuluh janji ini telah ditepati?

"Banyak lagi janji dan tuduhan kelihatan sebagai penipuan dan fitnah sahaja. Lebih parah, harga barang tidak turun selepas GST disifarkan dan akan naik bulan depan apabila SST diperkenalkan.

"PRK ini peluang untuk rakyat membantah dan menghantar amaran kepada pemerintah bahawa mereka tidak suka fitnah, tak mahu ditipu dan setiap janji perlu ditepati," katanya.

Antara janji yang disebut Najib adalah penurunan harga petrol, pemansuhan tol, penghapusan hutang Felda dan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk 1MDB.

Najib juga menggesa pengundi Sungai Kandis agar menguatkan suara pembangkang dengan memilih calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan menyifatkannya sebagai seorang yang berani memperjuangkan kebenaran dan tidak akan berhenti mempertahankan keadilan demi rakyat.

Untuk rekod, berdasarkan manifestonya, pemansuhan tol tidak termasuk dalam janji 100 hari manakala siasatan terhadap skandal 1MDB tidak semestinya melalui RCI.

Pada 31 Mei lalu, Lim berkata kerajaan mungkin perlu menangguhkan pelaksanaan beberapa janji 100 hari - antaranya pengenalan subsidi petrol bersasar dan penyelarasan dan peningkatan gaji minima - ekoran keadaan kewangan negara yang buruk.

Malaysiakini sedang menghubungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara ini.

Lihat Komen
ADS