Ahli PAS berhak buat keputusan sendiri, kata calon HARAPAN
SG KANDIS | Meskipun PAS secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini, namun ia tidak memberi kesan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).
Calon dari PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata dalam negara demokrasi semua orang berhak dalam membuat pilihan untuk menyokong pimpinan yang disukai.
“Dalam sistem demokrasi apa-apa yang disuarakan pemimpin parti hanyalah pandangan peribadi.
“Ahli PAS akar umbi berhak membuat keputusan sendiri untuk memilih wakil rakyat mereka,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun.
Zawawi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa Yang Dipertua PAS Kota Raja, Mohamed Diah Baharun secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan menyeru semua ahli dan penyokong PAS memberi undi kepada Lokman.
Diah berkata memberi undi kepada BN supaya HARAPAN dikalahkan dan memilih calon yang kurang memudaratkan.
“Tidak keluar mengundi bererti memberi undi kepada HARAPAN. Ini demi mempertahankan agama Islam, ketuanan Melayu dan negara tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Zawawi menjalankan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun pada jam 9 pagi.
Sebanyak 19 pusat mengundi mula dibuka pada pukul 8 pagi tadi.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon PKR, Zawawi, calon BN, Lokman dan calon Bebas K Murthy.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.
Pada pilihan raya umum ke-14, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

