SG KANDIS | Rata-rata pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis memuji inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menambah bilangan saluran mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) hari ini untuk mengatasi kesesakan di pusat mengundi.
Tinjauan Bernama di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Kandis dan Sekolah Kebangsaan Telok Menegon di sini mendapati tiada kesesakan berlaku di dua pusat pengundian itu setakat pukul 11 pagi ini.
Seorang pengundi, Mat Zamri Mohsin, 50, berkata beliau mengambil tempoh kurang daripada setengah jam untuk mengundi.
"Saya tiba di SRA Sungai Kandis kira-kira pukul 8.30 pagi dan dalam pukul 8.45 saya telah selesai mengundi.
"Saya juga ambil kesempatan datang pagi untuk mengelak hujan pada waktu petang yang pastinya akan menghalang kita untuk keluar mengundi," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Mohd Isa Jamil, 56, berkata penambahan saluran mengundi itu amat membantu kelancaran proses pengundian oleh kerana beliau tidak perlu beratur lama untuk mengundi.
Katanya, situasi itu berbeza ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, apabila pengundi terpaksa menunggu lama semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Ada tiga petak yang SPR buka di setiap saluran mengundi ini, jadi tiga orang boleh mengundi pada satu-satu masa. Keadaan ini tidak seperti PRU lepas yang mana keadaan sesak dan ada yang masih beratur walaupun ketika saat pusat mengundi dah nak ditutup," katanya.
Dalam pada itu, seorang warga emas, Zaharah Kasan, 79, berkata penambahbaikan yang dibuat oleh SPR itu memudahkan warga emas sepertinya melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi.
"Memang baguslah tidak perlu tunggu lama jadi kita boleh balik rumah cepat," katanya.
SPR sebelum ini mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam PRK kali ini termasuk mewujudkan dua saluran bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas, dan menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai.
Sebanyak 21 saluran baharu diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, menjadikan keseluruhannya 109 saluran berbanding 88 saluran pada PRU14, 9 Mei lalu.
SPR turut menambah satu lagi petak mengundi menjadikan keseluruhan tiga petak di kesemua 109 saluran mengundi, di mana tiga orang boleh mengundi pada satu-satu masa.
PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.
Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis adalah berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
- Bernama
