Sg Kandis jawab soalan pencapaian PAS-Umno, kata Kit Siang
PRK SG KANDIS | Banyak 'soalan penting' akan terjawab dengan keputusan pilihan raya kecil hari ini, antaranya mampukah calon BN Lokman Noor Adam mengekalkan atau memperbaiki pencapaian BN dan PAS di kerusi DUN itu pada PRU14 lalu, soal pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.
Ini susulan PAS menyeru anggota dan penyokongnya untuk mengundi Lokman dalam pilihan raya hari ini untuk mengalahkan calon HARAPAN Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Jumlah undi yang diperolehi BN dan PAS pada pilihan raya umum Mei lalu adalah sebanyak 19,091 undi tetapi allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei menang kerusi DUN itu dengan majoriti 12,480 undi.
PRK Sungai Kandis diadakan selepas allahyarham Shuhaimi meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
"Soalannya berapa peratus anggota PAS yang akan menyokong penuh kerjasama Umno-PAS bagi mengembalikan Najib untuk menjadi perdana menteri," kata anggota parlimen Iskandar Puteri dalam suatu kenyataan hari ini.
'Poisoned chalice' Umno pada PAS
Beliau juga menganggap tawaran BN memberi laluan kepada PAS bertanding di DUN Seri Setia hanyalah "poisoned chalice" (ada udang di sebalik batu).
"(Tawaran bertanding) ini 'ada udang di sebalik batu', kerana (DUN Seri Setia) pada PRU14, calon Barisan Nasional memperolehi 9,878 undi manakala calon PAS mendapat 4,563 undi, (mereka) kalah kepada calon HARAPAN/ PKR yang mendapat 29,250 undi dengan majoriti 19,372 undi.
"Adakah PAS akan menerima tawaran Umno yang 'ada udang di sebalik batu' itu?" Tanya Lim.
Semalam, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan gabungan itu akan memberi laluan kepada PAS bertanding di Seri Setia sebagai penghargaan kepada PAS yang 'berkorban' dalam membolehkan Umno bertanding di Sungai Kandis.
Selanjutnya Lim mempersoalkan jika tindakan akan diambil terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kerana didakwa berkempen merayu undi pada hari pengundian.
Beliau merujuk kepada bantahan Pengarah Eksekutif BERSIH Yap Swee Seng menganai hantaran Facebook yang dibuat anggota parlimen Pekan pagi ini, yang mana Najib merayu pengundi Sungai Kandis menyokong Lokman.
"Adakah Najib akan didakwa di mahkamah kerana melanggar undang-undang pilihan raya?" Soal Lim yang menjelaskan PRK hari ini menjadi medan ujian integriti dan tujuan peraturan pilihan raya negara.
Kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu disebabkan kemalangan jalan raya, sementara ADUN Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia kerana barah kolon pada Khamis lalu.
SPR menetapkan PRK Balakong pada 8 September ini, manakala tarikh PRK belum ditentukan untuk kerusi Seri Setia. Kedua-dua DUN berada di Selangor.

