Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini menggesa kerajaan agar menggubal undang-undang mengenai gangguan seksual secepat mungkin bagi menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.

Merujuk kepada laporan media mengenai insiden doktor pelatih dibuli oleh senior selain turut diganggu secara seksual di sebuah hospital kerajaan, Presiden MMA Dr Mohamed Namazie Ibrahim berkata lebih ramai mangsa akhirnya beroleh kekuatan untuk tampil dan membuat aduan.

Beliau berkata MMA juga berpandangan mungkin ada kes lain yang tidak dilaporkan kerana mangsa bimbang dipersalahkan serta takut didiskriminasi selain ada yang bimbang kehilangan pekerjaan.

“Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang khusus untuk menangani gangguan seksual di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan kod amalan berhubung mencegah dan menghentikan gangguan seksual di tempat kerja, pandangan ramai menyatakan kod itu tidak berkesan.

“Kod amalan akan kekal sebagai kod amalan jika tiada penguatkuasaan ketat untuk menghukum pelaku atau mengekang perlakuan sedemikian.

“Media membantu membentuk perspektif berbeza tentang isu ini apabila masyarakat melihat doktor-doktor muda terbabit. Sehubungan itu kami menggesa kerajaan agar melihat perkara ini secara serius dan mengambil langkah-langkah perlu untuk membetulkan keadaan,” katanya.

Ahad lepas, akhbar The Star dalam laporan muka depannya bertajuk ‘A sex predator is in the house’ (pemangsa seks ada di hospital) mendakwa ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang telah membuat gangguan seksual terhadap doktor pelatih bawah penyeliaannya.

- Bernama