Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia bimbang perang dagang AS-China, kata menteri luar

Malaysia secara khusus membangkitkan kebimbangan terhadap ancaman perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berkemungkinan akan mendatangkan kesan kepada rantau ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, beliau membangkitkan isu itu pada mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, di Singapura, pada Jumaat.

“Pertemuan saya dengan Setiusaha Negara AS berlangsung dengan baik. Kami mengulangi sentimen berkenaan terhadap rantau ini. Saya memaklumkan beliau bahawa masyarakat di rantau ini, terutama Malaysia, sebagai sebuah negara kecil, agak bimbang akan akibat daripada perang perdagangan yang berlangsung.

“Beliau nampaknya, sudah tentu, cukup jelas dalam maklum balasnya… ia adalah dijangkakan… objektif saya jelas. Kita sangat mengambil berat,” katanya pada sidang media di luar Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN ke-51, di Singapura, hari ini.

Saifuddin menyifatkan mesyuaratnya dengan Pompeo, yang diadakan sebelum Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-AS sebagai “pendek tetapi menarik”.

Mesyuarat dipengerusikan bersama Saifuddin dan Pompeo.

Laut China Selatan

Malaysia adalah negara penyelaras Dialog Hubungan ASEAN-AS bagi penggal 2015-2018.

“Kita pada masa ini sedang menghadapi ancaman sebenar. Ancaman dalam erti kata perang perdagangan. Ancaman itu menyebabkan banyak negara sangat bimbang,” katanya.

Ancaman itu menjadi lebih kompleks kerana ia saling berkaitan dengan isu geopolitik dan sangat relevan dengan Laut China Selatan, katanya dan menambah, “Laut China Selatan sepatutnya menjadi tempat untuk menjalankan perdagangan. Sudah tentu, kebimbangan kita adalah beberapa aktiviti di rantau ini mungkin mencetuskan ketegangan.”

Saifuddin yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-51/Persidangan Pascamenteri dan Mesyuarat Berkaitan, di Singapura, bermula 1 Ogos, berkata Malaysia juga menyatakan kebimbangan itu dengan negara anggota ASEAN lain.

Ditanya sama ada negara anggota membangkitkan kebimbangan mereka sewaktu Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-AS, Saifuddin berkata, “Ada beberapa negara, tetapi kadang-kadang ada yang menggunakan bahasa berbeza.”

“Saya menggunakan terma perang perdagangan pada lebih daripada satu acara. Satu lagi bahasa yang sangat suka digunakan adalah, mereka tidak suka dengan idea terhadap perlindungan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS