Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyertai senarai lebih 60 yang bertanding merebut 20 kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Bercakap dalam sidang media selepas menyerahkan pencalonannya di ibu pejabat PKR hari ini, Amirudin berkata jawatan itu dipilihnya berdasarkan pengalamannya dilantik sebagai anggota MPP.

Diminta mengulas spekulasi sebelum ini yang mengatakan beliau akan bertanding jawatan naib presiden, ADUN Sungai Tua itu berkata beliau menjangkakan ramai yang akan bertanding merebut empat kerusi jawatan berkenaan.

"Tapi saya juga menghormati pemimpin yang lebih kanan yang dijangka bertanding jawatan itu," katanya yang memaklumkan pencalonannya dibuat oleh Dr Afif Bahardin dan disokong oleh ADUN Gombak Setia Hilman Idham.

Sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa Amirudin dijangka bertanding jawatan naib presiden.

"Saya diberitahu dia (Amirudin) akan bertanding jawatan naib presiden.

"Dia seorang menteri besar, jadi jawatan naib presiden sesuai (untuk ditandinginya)," kata sumber PKR yang dihubungi menjelang penutupan pencalonan bagi semua jawatan pusat 5 petang ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Pembantu Amirudin yang dihubungi untuk pengesahan bagaimanapun enggan mengulas perkara itu dan berkata anggota dewan undangan negeri (ADUN) Sungai Tua itu akan mengumumkan sendiri keputusannya hari ini.

"Saya tidak tahu jawatan apa yang diisinya dalam borang pencalonan semalam," katanya.

Walaupun Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berulang kali menafikan kewujudan kem di dalam parti mereka, penyandang jawatan naib presiden Rafizi Ramli minggu lalu mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Rafizi turut mendapat sokongan beberapa pemimpin PKR yang menyertai pasukannya termasuklah Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan Anggota Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Bekas anggota parlimen Pandan itu juga memberi gambaran bahawa Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar akan mempertahankan jawatan naib presiden dan menyertai pasukannya. Nurul Izzah bagaimanapun belum mengesahkan perkara itu.

Selain pasukan Rafizi, pemimpin PKR lain yang dispekulasikan untuk bertanding jawatan naib presiden adalah Dr Xavier Jeyakumar, Sivarasa Rasiah, SHamsul Iskandar Md Akin dan Tian Chua.

Pemerhati melihat pemimpin PKR yanf tidak berada di dalam pasukan Rafizi akan menyokong penyandang jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin bagaimanapun belum mendedahkan sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya dan berdepan Rafizi atau mencabar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden.

Difahamkan bahawa Azmin, yang kini berada di Singapura untuk urusan rasmi akan menyerahkan pencalonannya hari ini melalui wakilnya.

Pertembungan tiga penjuru sayap Pemuda

Sementara itu, di sayap Pemuda PKR, ADUN Kota Anggerik Najwan Halimi semalam mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Pemuda, bersama Timbalan Ketua Pemuda PKR Naqiuddin Nazrin yang bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda.

Najwan dan Naqiuaddin merupakan gandingan ketiga yang akan bertanding dua jawatan tertinggi sayap Pemuda PKR.

Berada di dalam pasukan Rafizi, Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir merupakan yang pertama mengumumkan untuk bertanding jawatan ketua Pemuda dan disertai Ketua Pemuda PKR Sabah Raymond Ahuar sebagai timbalan ketua Pemuda.

Selain itu, penyandang jawatan timbalan ketua Pemuda Dr Afif Bahardin dan ADUN Gobak Setia Hilman Idham turut akan merebut dua jawatan berkenaan. Kedua-dua mereka dilihat merupakan pasukan Azmin.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, melalui kenyataan medianya hari ini, Akmal mengumumkan senarai calon bagi jawatan naib ketua dan exco Pemuda PKR.

Menggelarkan pasukannya sebagai 'Reformasi Muda', Akmal berkata mereka yang bertanding datang daripada setiap negeri, pelbagai kaum dan agama serta daripada pelbagai latar belakang.

Berikut merupakan senarai yang diumumkan dalam kenyataan media itu:

Calon Naib-Naib Ketua Pemuda: 

1. Chua Wei Kiat - ADUN Rawang 

2. Ahmad Syukri Razab - Setiausaha Pengelola AMK Malaysia 

3. Thiban A/L Subbramaniam - Naib Ketua AMK Selangor Calon 

 

EXCO Pemuda: 

1. Nor Azam Bin Karap - ADUN Kuala Perlis Wakil Perlis 

2. Mohd Aizuddin Bin Ariffin - Wakil Kedah

3. Fahmi Zainol - Wakil Pulau Pinang 

4. Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim - Wakil Perak 

5. Wong Chai Yi - Wakil Perak 

6. Umar Mohd Sarawani - Wakil Selangor 

7. Arvindran P. Patmanathan - Wakil Selangor 

8. Pravin A/L Murali  - Wakil Selangor 

9. Fasyarini Binti Azhari - Wakil Wilayah 

10. Shariful Azmir Mustafa - Wakil Wilayah 

11. Mohd Umry Bin Abdul Khois - Wakil Negeri Sembilan 

12. Prasanth Kumar A/L Brakasam - Wakil Melaka 

13. Yuneswaran Ramaraj - Wakil Johor  

14. Wong Chun Yuan - Wakil Pahang

15. Mohd Huzaifah Bin Md Suhaimi - Wakil Terengganu 

16. Muhammad Arif Bin Mukhtar - Wakil Kelantan 

17. Saifunnizam Sam - Wakil Sarawak 

18. Bryan Chua Chun Han - Wakil Sabah 

19. Mohammad Razeef Rakimin - Wakil Sabah 

20. Tommy Thomas - Wakil Sabah

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS