Polis digesa jelas status siasatan pengarang 'surat CIA'
Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menggesa pihak berkuasa menjelaskan status laporan polis yang dibuat terhadap Datuk Hasanah Ab Hamid, bekas ketua pengarah unit risikan Jabatan Perdana Menteri, berhubung suratnya yang dikirim kepada CIA.
Presiden PATRIOT Datuk Mohamed Arshad Raji berkata polis perlu memaklumkan status siasatan berhubung laporan yang dibuat pihak mereka pada 24 Julai dan sama ada polis menemukan sebab untuk menahan Hasanah atas dakwaan surat "khianat".
"Kami diberitahu bahawa Hasanah telah meletakkan jawatan dan kini lokasinya tidak diketahui.
"Soalan yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa yang membuat siasatan adalah kenapa Hasanah belum ditahan berhubung surat yang kami lihat sebagai khianat.
"Adakah pihak berkuasa merasakan surat Hasanah tidak cukup serius untuk mengeluarkan waran tangkap ke atasnya?" kata Arshad.
Tambahnya lagi, polis setakat ini berdiam diri berhubung status laporan polis yang dibuat PATRIOT dan sama ada siasatan telah dijalankan.
"Sebaliknya, kenyataan daripada ketua polis negara menyatakan siasatan berhubung laporan polis yang dibuat Hasanah sudah diselesaikan dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara," katanya.
Surat yang dikatakan ditandatangani Hasanah dihantar oleh Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) lima hari sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 itu antara lain bagi meminta sokongan AS sekiranya BN menang tipis.
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun menafikan mengetahui kewujudan surat berkenaan.
Sementara itu, Arshad berkata PATRIOT dalam kenyataan terdahulu menyatakan bajawa pengarah unit risikan tentera juga didakwa terlibat dalam menyokong Najib dalam tempoh kempen PRU lalu.
"Kami menggesa peletakan jawatannya sekiranya dakwaan itu benar, namun sehingga hari ini, kami diberitahu dia masih memegang jawatan itu.
"Dia belum menafikan semua dakwaan ke atasnya. Belum ada siasatan yang dibuat berhubung perkara ini," katanya.

