Terjemahan Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia telah mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 13 peratus kepada RM11.8 juta dalam tempoh tiga bulan sehingga September lalu, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tony Fernandes berkata, syarikat tersebut telah mengambil langkah mengawal kos bahanapi serta mendapatkan pengecualian cukai sebagai persediaan menghadapi suku tahun pertama kewangan 2006 yang 'penuh cabaran'.

"Suku (tahun) pertama kebiasaannya merupakan tempoh paling lemah pada sesuatu tahun, tetapi AirAsia mampu mencatatkan prestasi yang menggalakkan," katanya dalam satu kenyataan.

Fernandes berkata, keuntungan meningkat daripada RM10.5 juta setahun lalu, yang dicatatkan melalui 50 peratus kenaikan dalam perolehan syarikat dalam suku tahun berkenaan.

"AirAsia adalah antara segelintiar syarikat penerbangan di Asia Pasifik yang mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam perolehan dan keuntungan. Kami mencapainya menerusi kenaikan 21 peratus faktor penumpang dan 18 peratus pertumbuhan dalam purata tambang," katanya.

Menurutnya lagi, usahasama AirAsia di Thailand dan Indonesia juga memperlihatkan prestasi yang baik di mana operasi di Thailand telah mencatatkan keuntungan bersih 2.0 juta baht.

Faktor penumpang

"Kami yakin operasi di Thailand akan memberi sumbangan positif terhadap tahun kewangan sepertimana yang diperlihat menerusi faktor bilangan penumpang dan purata tambang yang semakin baik," katanya.

Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu kini menyediakan perkhidmatan ke 57 laluan, menjadikannya 'syarikat penerbangan yang menyediakan "penerbangan terbanyak meliputi rantau Asia Tenggara".

Penggunaan 100 pesawat baru Airbus A320 yang akan mula diserahkan mulai bulan depan, akan meningkatkan lagi keupayaan syarikat tambang murah terbesar di Asia itu, katanya.

"Penggunaan pesawat A320s akan menandakan bab baru dan menjadi operasi kami yang termoden menggunakan pesawat tercanggih, serta merupakan salah sebuah syarikat penerbangan termuda di Asia," tambahnya. Berita asal

- AFP