Lantikan politik: 11k guru tadika, pemandu, kerani selamat
PARLIMEN | Seramai 3,250 (18.12 peratus) pegawai lantikan politik dalam kerajaan telah ditamatkan kontrak dan 2,934 orang (16.35 peratus) lagi akan menyusul.
Menteri di Jabatan perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata mereka antara 17,942 orang lantikan politik di Jabatan Pembangunan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Suruhanjaya Koperasi dan Unit Pemantaun dan pelaksanaan JPM.
Katanya, 3.252 orang pegawai ditamatkan perkhidmatan kerana tugasanya telah selesa dan tiada lagi keperluan diteruskan.
Seramai 3,934 orang lagi sedang menanti kontrak mereka tamat.
Bagaimanapun, seramai 11,394 (63.51 peratus) lagi melibatkan pegawai pelaksana operasi seperti guru tabika dan taska, pemandu serta pembantu tadbir masih diteruskan.
"...manakala 227 (1.54 peratus) pula akan diputuskan oleh agensi baharu dan baki 85 (0.48) pula akan dibuat penempatan semula," katanya.
Liew juga berkata pegawai yang ditamatkan kontrak lebih awal akan diberi notis sebulan.
Pekerja juga akan dibayar satu bulan gaji jika notis diberi kurang daripada tempoh itu, berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil 2 Tahun 2008.
Beliau menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Iskandar Puteri) yang mahu tahu status pelucutan pelantikan politik susulan perubahan kerajaan dalam pilihan raya umum lalu.

