Perlembagaan perlu dipinda untuk pisah fungsi peguam negara, pendakwa raya
Kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memisahkan fungsi peguam negara dan pendakwa raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.
"Pemisahan fungsi peguam negara daripada fungsi pendakwa raya boleh dilaksanakan dengan meminda Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam jawapan bertulis parlimen.
Tambah Liew, ia juga memerlukan sokongan dengan undi dua pertiga di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Untuk rekod, ketika ini Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak memegang majoriti dua pertiga. HARAPAN hanya memegang 116 kerusi parlimen di Dewan Rakyat. Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan GPS, yang menyokong HARAPAN masing-masing memegang lapan dan 19 kerusi.
Jumlah keseluruhan kerusi yang dipegang HARAPAN dan sekutunya adalah 143, iaitu kurang lima kerusi untuk mendapat dua pertiga dalam membuat pindaan berkenaan.
Sementara di Dewan Negara ketika ini terdapat 51 senator daripada 70 kerusi yang ada, dengan 28 daripadanya adalah dari BN.
Peruntukan perlembagaan berkenaan menggariskan tugas peguam negara yang juga berfungsi sebagai pendakwa raya.
"Peguam negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan mengikut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri, atau mahkamah tentera.
"Seksyen 476 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) pula memperuntukkan bahawa peguam negara hendaklah menjadi pendakwa raya dan mempunyai kawalan serta arahan terhadap semua pendakwaan dan prosiding jenayah di bawah kanun tersebut," katanya.
Liew berkata demikian sebagai menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta penjelasan berhubung janji HARAPAN dalam manifesto untuk memisahkan fungsi peguam negara dan pendakwa raya yang belum ditunaikan.

