Rafizi: Mana rancangan khusus kereta nasional ketiga?
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membangkitkan sama ada kerajaan sudah mempunyai perancangan khusus berhubung kesediaan melancarkan projek kerajaan nasional kedua.
Ini memandangkan tempoh masa khusus, sebelum 2020, telah diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof, kelmarin.
Redzuan, Sabtu lalu, berkata, kerajaan bersedia melancarkan “projek kereta nasional 3.0” menjelang 2020 seperti dibayangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Redzuan berkata kerajaan percaya langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara dan berpotensi besar.
Dalam kenyataan hari ini, Rafizi juga menegaskan, memandangkan perkara itu berkaitan dasar, ia sewajarnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu, sebelum dilaksanakan kabinet.
Sementara itu, Rafizi menegaskan idea itu bukan sahaja tidak popular dan diterima secara sinis oleh rakyat terbanyak, tetapi juga bertentangan dengan tawaran Pakatan Harapan.
“Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga,” katanya.

