Jabatan Perdana Menteri jimat 60% perbelanjaan pembangunan
PARLIMEN | Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan akan hanya memerlukan RM4.9 bilion daripada RM12.3 bilion perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan tahun ini susulan penstrukturan semula agensi-agensi jabatan berkenaan.
Manakala, perbelanjaan operasi akan dikurangkan dua peratus atau RM100 juta daripada RM5.2 bilion yang diperuntukkan.
Penjimatan itu adalah selepas pemansuhan Majlis Profesor Kebangsaan dan penamatan khidmat beberapa penasihat dan diplomat kerajaan.
"Bagaimanapun, penjimatan atau pengurangan dalam peruntukan kerajaan tahun ini hanya boleh dimuktamadkan selepas penstrukturan JPM diselesaikan," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.
Liew berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir yang bertanya jumlah penjimatan Jabatan Perdana Menteri.
Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum ini disifatkan sebagai terlalu bertumpu pada JPM.
Najib memperuntukkan RM18 bilion bagi jabatan itu pada 2018, atau 6.1 peratus daripada keseluruhan belanjawan. Sebaliknya, peruntukan bagi Kementerian Kesihatan adalah RM27 bilion untuk tahun ini.
Perbelanjaan JPM pertama kali melebihi RM10 bilion pada 2010 selepas Najib mengambil alih. Ia mencecah RM20 bilion pada 2016. Purata peruntukan bagi JPM dari tahun 2010 hingga 2018 adalah RM16.5 bilion.

