Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengesahkan mereka akan meletakkan calon untuk pilihan raya kecil (PRK) Balakong yang akan diadakan pada 8 Sept ini.
PRM yang menjadi antara parti terawal ditubuhkan di negara ini berkata mereka sedang menilai calon yang berpotensi, selain mengkaji selidik keadaan semasa bagi memastikan pemillihan dibuat adalah tepat.
Setiausaha Agung PRM Koh Swe Yong berkata keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 memperlihatkan perkembangan situasi yang tidak menguntungkan rakyat walaupun kerajaan persekutuan dan negeri kepada Pakatan Harapan.
Di Selangor pula katanya hanya ada tiga orang pembangkang di dewan undangan negerinya.
"Kuasa parti pemerintah di Selangor terlalu besar. Keadaan begini tidak sihat untuk pembinaan sistem demokrasi di Malaysia," katanya.
Justeru kata Koh demi masa depan rakyat PRM berpendapat semua parti pembangkang perlu bekerjasama demi memastikan mekanisme semak dan imbang wujud.
Katanya rakyat pasti mencari-cari jalan untuk membina sistem semak dan imbang itu supaya kukuh dan berkesan.
"Dalam keadaan baru ini, peluang adalah cerah untuk PRM bertanding," katanya.
Pengumuman itu menjadikan PRM sebagai parti kedua mengesahkan akan menyertai PRK terbabit selepas DAP yang mewakili HARAPAN.
Kerusi Balakong menjadi kosong apabila penyandangnya Eddie Ng meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.
Balakong pernah menjadi kerusi yang selamat buat MCA sehinggalah 2008 apabila mereka kecundang di situ.
Pada 9 Mei lalu Ng memenangi kerusi berkenaan dengan mengetepikan dua calon lain - termasuk PAS - dengan kelebihan 35,538 undi.
Setakat ini MCA belum mengesahkan sama ada mereka akan meletakkan calon di situ selepas mencatat prestasi yang malap di seluruh negara pada PRU ke-14 lalu.
PRM ditubuhkan oleh Allahyarham Ahmad Boestamam pada 1955 dan menjadi parti berhaluan kiri namun kesannya kepada politik serta pilihan raya adalah terhad.
