Terjemahan Ahli politik veteran Sarawak, Datuk James Wong Kim Min telah mengumumkan penarikan dirinya daripada Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) kerana tidak mahu dibabitkan dengan aktiviti parti itu sekarang.

Dalam kenyataan yang diedarkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh anaknya, Richard Wong Richard Wong (BN-Limbang), beliau tidak menyatakan bentuk aktiviti parti itu, tetapi dipercayai ada berkaitan dengan kecenderungan Snap bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mungkin membawa kepada terbentuknya pakatan politik antara kedua parti tersebut.

Seorang pemimpin kanan Snap memberitahu malaysiakini bahawa tindakan bekas presiden Snap itu jelas bertujuan untuk melindungi kerusi anaknya yang kini diwakili oleh Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Menurut spekulasi, Richard, 50, seorang ahli perniagaan, dijangka dicalonkan bertanding di kawasan Batu Danau kerusi baru majoriti kaum Iban. Cabaran dijangka datang dari seorang calon masyarakat Bisaya yang merupakan kira-kira 20 peratus daripada jumlah pengundi atas tiket Snap.

Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud telah mengumumkan kerusi baru di Batu Danau itu telah diperuntukkan kepada SPDP.

Wong merupakan bekas menteri Sarawak yang 'dipaksa' melepaskan jawatan presiden Snap di kemuncak krisis kepimpinan parti itu lebih tiga tahun lalu, yang mengakibatkan parti itu dibubarkan dan membawa kepada penubuhan SPDP.

Selepas dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan, ia telah membawa kes itu ke mahkamah untuk semakan kehakiman. Sementara menunggu keputusan tersebut Februari depan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan penangguhan penguatkuasaan keputusan ROC.

Urusan seperti biasa

Sementara itu, Timbalan Presiden Snap, Justine Jinggut memberitahu malaysiakini bahawa keputusan Wong untuk menarik balik tindakan undang-undang itu tidak bermakna proses perundangan telah terjejas kerana beliau (Justine) adalah salah seorang daripada dua plantif dan Wong akan digantikan dengan pemimpin parti yang lain dalam kes tersebut.

Beliau memberi jaminan kepada para ahli bahawa pihak parti akan meneruskan proses perundangan itu walaupun ia dijangka akan memakan masa.

"Buat masa ini, urusan parti berjalan seperti biasa," katanya.

Wujud kebimbangan dalam parti tersebut bahawa keputusan Wong itu akan menjejaskan kedudukan parti berkenaan dan menafi haknya untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Snap akan menjadi wadah kepada calon-calon parti Malaysian Dayak Congress (MDC) jika pilihanraya negeri diadakan sebelum parti itu mendapat kelulusan pendaftarannya.

Snap dijangka meletakkan 30 hingga 40 calon, kebanyakannya di kerusi majoriti kaum Dayak.

Sementara itu, Taib memberitahu pemberita semalam bahawa parti komponen parti memerintah Sarawak telahpun mencapai kata sepakat berhubung pembahagian 71 kerusi, dengan sebahagian besarnya diperolehi oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinannya.

Dua Adun Stanley Ajang (Belaga) dan Gabriel Adit (Ngemah) dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang telah dibubarkan, telah dimaklumkan supaya menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) atau SPDP.

Setakat ini tiada sebarang reaksi dari Ajang dan Adit, tetapi para pemerhati menjangka akan berlaku kompromi di mana seorang daripadanya menyertai PRS dan seorang lagi menyertai SPDP. Berita asal