LAPORAN AUDIT | Jabatan Kastam tidak dapat mengedarkan 304 unit senjata api kepada pegawainya kerana ia dibeli sebelum mendapat lesen yang diperlukan daripada polis, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1.

Audit yang dijalankan dari Disember 2016 hingga April 2017 itu mendapati Jabatan Kastam membelanjakan RM2.8 juta untuk membeli 659 senjata api antara 2014 hingga 2015.

Namun hampir separuh daripadanya disimpan dan tidak diedarkan kepada pegawai penguatkuasa yang bertugas.

Pemeriksaan di 17 tempat simpanan senjata Cawangan Operasi Marin dan Khidmat Sokongan seluruh negara menunjukkan 234 unit senjata api, bernilai RM917,600, disimpan sejak 2015.

"Baki 70 unit, bernilai RM624,050, disimpan di stor milik syarikat pembekal kerana had ruang," kata laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan senjata api, laporan itu menyatakan Jabatan Kastam membelanjakan antaranya RM570,000 untuk 200 pistol Glock 19 dan RM480,000 untuk 150 pistol CZ-PO7.

"Audit berpandangan Jabatan Kastam telah mengambil langkah sepatutnya untuk memastikan pegawai penguatkuasa dilengkapi senjata api menerusi perolehan baru yang dibuat pada 2014 dan 2015.

"Namun objektif (perolehan) tidak dicapai, kerana senjata api itu tidak diedarkan atau digunakan kerana mereka (Kastam) tidak mendapat lesen sepatutnya," kata laporan itu.

Maklumbalas Jabatan Kastam kepada audit pada 20 Disember tahun lalu mengesahkan senjata api itu disimpan kerana ketiadaan lesen.

Ia menambah, permohonan kemudian dibuat kepada polis.

Laporan audit menyatakan pemerolehan senjata api tanpa kelulusan terlebih dulu adalah kesalahan bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1960.

Seksyen 8 akta sama menyatakan sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, denda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

"Perkara ini boleh mencemarkan imej Jabatan Kastam terutamanya dan perkhidmatan awam amnya," kata laporan audit.