Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis sahkan kematian CEO Cradle Fund sebagai kes bunuh

Polis mengesahkan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan pada 14 Jun lepas, kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada Jumaat lepas (3 Ogos).

"Keputusan itu dibuat berdasarkan laporan pihak bomba serta laporan bedah siasat yang diperoleh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian tersebut, media melaporkan Nazrin, 47, maut dalam kebakaran di kediamannya di Petaling Jaya kira-kira 12.20 tengah hari.

Cradle Fund Sdn Bhd dalam kenyataan ketika itu mengesahkan laporan bedah siasat menyimpulkan kematian Nazrin berpunca daripada komplikasi kecederaan akibat letupan telefon bimbit yang sedang dicas berdekatannya.

Cradle Fund adalah syarikat di bawah kementerian kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

Ia adalah agensi memberi pembiayaan awal kepada syarikat-syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.

- Bernama

Lihat Komen
ADS