Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib hari ini menolak ususl untuk membahaskan insiden tahanan wanita dibogel dan diarah ketuk ketampi di dalam lokap polis.

Ketika menolak usul ynag dikemukakan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok itu, beliau berkata, walaupun ia spesifik dan berkaitan dengan kepentingan umum, namun ia tidak memenuhi kriteria "isu yang perlu disegerakan".

Ramli menjelaskan, memandangkan insiden tersebut sedang disiasat polis dan kerajaan akan menubuhkan badan penyiasat bebas untuk menyiasatnya, maka tidak perlu Dewan Rakyat membahaskannya.

Katanya, walaupun usul itu ditolak, Ahli Parlimen boleh membangkitkan isu berkenaan dalam persidangan Jawatankuasa Keselamatan Isnin depan.

Keputusan Speaker itu telah menghampakan wakil pembangkang dan penyokong kerajaan.

Malah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Noh Omar melahirkan rasa terkejutnya dan kecewa dengan keputusan Ramli itu.

"Saya sudah bersedia untuk menjawab sebarang pertanyaan berhubung perkara ini. Saya tidak menjangka ia akan ditolak," ujarnya dalam sidang media di lobi Parlimen..

Klip video

Menurutnya, keputusan Speaker itu perlu dipatuhi kerana beliau mempunyai alasan yang konkrit dan jelas.

Insiden "dibogel dan diarah ketuk ketampi" yang disebarkan dalam klip video yang dirakamkan dengan telefon bimbit itu telah menggemparkan seluruh negara dan masyarakat antarabangsa kerana ia menggambarkan salahlaku polis negara ini.

Ekoran kejadian itu, semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan badan penyiasat bebas ditubuhkan untuk menyiasat insiden yang memalukan pasukan polis dan negara itu.

Menyentuh tentang prosidur siasatan, Noh sekali lagi mempertahankan tindakan polis dengan menegaskan bahawa pihak berkuasa berhak untuk memeriksa seluruh anggota badan tahanan bagi memastikan sama ada mereka melakukan kesalahan atau sebaliknya.

"Polis tidak tahu apa yang ada di tubuh mereka, jadi ia perlu diperiksa secara menyeluruh untuk mengetahui apa yang ada pada mereka.

"Memeriksa badan orang yang disyaki memang dibenarkan tetapi persoalan yang timbul ialah sejauhmana pemeriksaan itu dibenarkan. Ia mengundang pelbagai tafsiran.

'Bergantung pada situasi'

"Adakah memeriksa badan itu cukup dengan menyentuh atau perlu menanggalkan pakaian? Ia bergantung kepada situasi," katanya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya menyiasat sama ada polis melakukan tindakan tersebut mengikut peraturan atau tidak.

Bagaimanapun katanya, tahanan yang disuruh berbogel dan ketuk ketampi itu bukan salah seorang daripada empat wanita warga China yang mendakwa dibogelkan baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu, anggota polis yang merakamkan kejadian itu disiasat di bawah Akta 500 Acara Kanun Jenayah, iaitu melakukan perbuatan keji.

Dalam sidang akhbarnya hari ini, ahli Parlimen DAP bagi Seputeh, Teresa Kok melahirkan rasa kecewanya terhadap keputusan Speaker untuk menolak usulnya itu.

"Saya kecewa...beliau kata ini bukan isu yang perlu disegerakan. Saya rasa sebagai ahli Parlimen kita patut menyuarakan kekecewaan kita terhadap apa yang berlaku dalam pasukan polis," katanya.

etua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) pula turut mengkritik keputusan Speaker menolak usul tersebut.

Katanya, beliau tidak terperanjat dengan keputusan tersebut memandangkan dua usul yang dikemukakan awal tahun ini mengenai isu Import Permit (AP) dan kemerosotan ranking Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia, juga telah ditolak.