Wilayah di selatan Thailand, Narathiwat telah mengarahkan semua kedai berhenti menjual telefon bimbit dan kad SIM keluaran Malaysia selepas mendapati pemberontak meletupkan bom menggunakan telefon dan kad SIM yang dikeluarkan di seberang sempadan itu.

The National News Bureau hari ini melaporkan Gabenor Wilayah Narathiwat Pracha Terat sebagai berkata sesiapa yang melanggar arahan itu akan didakwa.

Beliau berkata, arahan itu dibuat berikutan siasatan mendapati serangan bom pada 20 November lalu di wilayah itu yang telah mencederakan ramai orang, dilakukan oleh pemberontak yang meletupkan bom menggunakan telefon bimbit dan kad SIM yang dikeluarkan di Malaysia.

Arahan itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk di wilayah selatan yang bergolak itu Ahad lalu, untuk tidak menghubungi semula panggilan yang tidak dijawab daripada pemanggil yang tidak dikenali kerana ia mungkin akan digunakan untuk meletupkan bom.

Jurucakap Pusat Membina Keamanan Wilayah Sempadan Selatan, Somkhuan Saengprathranet berkata, para pemberontak mungkin telah menggunakan taktik baru dengan menghubungi nombor secara rawak.

Lebih seribu terkorban

"Apabila pengguna telefon mendapati ada panggilan yang tidak dijawab, mereka akan menghubungi pemanggilnya. Panggilan itu boleh membuatkan bom meletup," katanya.

Menurut laporan Bernama, lebih 1,000 orang mati dalam kejadian keganasan di wilayah itu yang majoritinya penduduk Islam sejak Januari, 2004.

Sebagai langkah untuk membanteras pengeboman menggunakan telefon bimbit, kerajaan Thailand mengarahkan semua pengguna di tiga wilayah iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani supaya mendaftar.

Apabila tempohnya tamat pada 15 November, lebih 90 peratus mendaftarkan kad SIM mereka tetapi pihak berkuasa masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana isyarat liputan telefon dari Malaysia masih diterima.

Sora-at Klinpratoom, Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) memberitahu pemberita pada Sabtu bahawa walaupun majoriti pengguna telah berdaftar, ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah menggunakan telefon bimbit untuk meletupkan bom.

Katanya beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Telekomunikasi Negara (NTC) membantu menyelesaikan masalah itu, dan maklum balas positif telah diterima dari Malaysia.