Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Zulkipli Mat Noor hari ini menjelaskan bahawa pendakwaan sesuatu kes rasuah terletak dalam bidangkuasa Pejabat Peguam Negara dan bukannya BPR.

Katanya, sebelum ini beliau ada terbaca laporan yang menyebut bahawa Ketua Pengarah BPR mempunyai kuasa untuk membuat pendakwaan kes seumpama itu.

"Ini tak betul," katanya ketika berucap di jamuan Aidilfitri anjuran BPR di Putrajaya sewaktu menekankan pentingnya tidak berlaku salah tanggapan mengenai hal itu di kalangan masyarakat.

Mengulas perkara yang sama kepada pemberita kemudian, Zulkipli berkata kuasa sama ada mendakwa atau sebaliknya, berada di tangan pihak pendakwaraya dan ia termaktub dalam undang-undang negara.

"Itu dah jelas iaitu pendakwaan dijalankan oleh pendakwaraya, Peguam Negara lah," katanya.

Sepanjang tahun ini, BPR membuka 1,218 kertas siasatan dan membuat 351 tangkapan. Ini menghasilkan 135 pendakwaan yang membawa kepada 71 sabitan kesalahan iaitu 30 di sektor awam dan 41 di sektor swasta.

Kes 'high profile'

Antara kes yang sedang dibicarakan yang menarik perhatian umum melibatkan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Sharif Jajang, bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill & Development Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Sabah Tan Sri Kasitah Gadam.

Menurut laporan Bernama, Zulkipli enggan mengulas apabila ditanya sama ada BPR sedang menyiasat kes bersifat "high profile" lain.

Dalam pada itu, beliau berkata BPR sedang dalam proses mengambil dan melatih 600 kakitangan secara berperingkat bagi memantapkan lagi operasinya mencakupi siasatan kes-kes berunsur rasuah dan menjalankan aktiviti meningkatkan integriti.

"Jadi, kita memerlukan tenaga kerja yang khusus dalam bidang tertentu seperti perakaunan, undang-undang, ekonomi, pengurusan perniagaan dan sebagainya," katanya.

Menurutnya Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan perjawatan bagi 116 kakitangan untuk ditempatkan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur yang dijangka beroperasi bulan depan.

Kursus antarabangsa pertama yang akan diadakan ialah "Crown Agents of London-Intelligence-Based Investigation" dari 16 hingga 20 Januari 2006.