Khidmat profesional kini untuk eksport
Majlis Eksport Khidmat Profesional Kebangsaan (Naspec) ditubuhkan dalam usaha kerajaan menambahkan penglibatan profesional negara ini di peringkat antarabangsa dan menjana ekonomi negara dalam sektor itu.
"(Dengan Naspec) perkhidmatan diharapkan menjadi satu sektor eksport yang penting bagi Malaysia," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini.
"Ia juga untuk menambahkan penglibatan profesional di peringkat antarabangsa dalam projek-projek yang dibiayai oleh agensi-agensi seperti Bank Pembangunan Asia (ADB), Bank Dunia dan Bank Pembangunan Islam (IDB)."
Bercakap kepada 250 peserta ketika merasmikan Seminar Eksport Perkhidmatan Profesional di Kuala Lumpur pagi ini, Rafidah berkata Naspec juga berperanan sebagai penasihat Perbadanan Kemajuan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Naspec terdiri daripada gabungan badan-badan perkhidmatan profesional dan juga jabatan-jabatan kerajaan berkaitan.
Kata menteri itu lagi, kementeriannya, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kerja Raya, Unit Perancangan Ekonomi, Lembaga Kemajuan Industri Pembinaan (CIDB) Bank Negara dan agensi insurans kredit eskport, Mecib terlibat dalam badan yang baru ditubuhkan itu.
Beliau turut mencadangkan syarikat pembekal perkhidmatan berkenaan menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat perkhidmatan tempatan dan mempunyai pejabat-pejabat (cawangan) sendiri di luar negara.
Sebelum itu Rafidah menjelaskan, eksport perkhidmatan negara ini masih kecil iaitu 0.48 peratus pada tahun 1990 dan 0.96 peratus (1995) dan 0.95 peratus (2000) daripada jumlah eksport perkhidmatan di peringkat dunia.
Merujuk laporan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), beliau berkata nilai dagangan sedunia dalam perkhidmatan komersial tahun lalu sahaja dianggarkan US$1.4 bilion, iaitu dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
"Pada masa kini nilai eksport perkhidmatan komersial merupakan 22 peratus daripada nilai eksport global barangan," katanya.
Menurutnya, defisit akaun perkhidmatan negara ini sentiasa menunjukkan peningkatan, RM10.391 bilion pada 1985, RM 9.723 bilion (1990), RM19.229 bilion (1995) dan RM40.569 bilion (2000).

