Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mejar (B) Zaidi Ahmad, yang dipecat daripada angkatan tentera tiga tahun lalu, menyuarakan kekecewaan selepas selepas kerajaan menolak permohonannya agar jawatannya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikembalikan atau beliau dibayar pencen.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai pegawai penerangan pejabat ketua menteri Pulau Pinang hari ini berkata, Majlis Angkatan Tentera memberitahunya bahawa beliau tidak layak mendapat tuntutan itu kerana dipecat daripada tugas.

"Saya akan jumpa mereka di hari pengadilan," katanya kepada Malaysiakini.

"Saya tidak mahu ulas panjang tentang keputusan itu tetapi saya mahu ingatkan pemimpin HARAPAN agar tidak lupa, mereka kini sudah menjadi menteri, gembira dan boleh menikmati kemewahan.

"Jangan lupa rakyat yang berjuang dan mengangkat anda ke kedudukan sekarang, kerana rakyat yang sama juga boleh jatuhkan anda," katanya lagi.

Beliau membuat permohonan itu Mei lalu kepada Mohamad Sabu yang ketika itu baru menjadi menteri pertahanan.

Dalam permohonannya, Zaidi meminta agar pencennya dikembalikan atau beliau dimasukkan semula dalam TUDM atas asas dirinya sebagai juruterbang berpengalaman yang "dipaksa" melepaskan jawatan oleh kerajaan BN.

Mohamad berkata akan mengkaji permohonan itu dan akan mengambil tindakan jika perlu.

Malaysiakini sudah menghubungi Mohamad dan menunggu maklum balasnya.

Zaidi dipecat pada 12 Januari 2015 selepas mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal.

Beliau membuat laporan polis ketika PRU 2013, dan tindakan itu dianggap bertentangan dengan etika kerjanya.

Lihat Komen
ADS