Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Mustahil orang PAS sekelip mata sokong Umno'
Diterbitkan:  Aug 7, 2018 4:30 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui mustahil ahli PAS sekelip mata akan menyokong Umno berikutan perseteruan panjang kedua-dua parti itu.

Naib Presiden Umno itu mengulas kekalahan BN di PRK Sungai Kandis yang antara puncanya dikatakan kerana calonnya Datuk Lokman Noor Adam tidak mendapat sokongan ahli dan penyokong PAS.

“Di peringkat atasan tiada masalah. Ini terbukti apabila kepimpinan PAS secara terbuka meminta ahli mereka menyokong calon BN tetapi kita harus faham, di peringkat akar umbi ia memerlukan waktu.

“Permusuhan antara Umno dan PAS di peringkat akar umbi sudah lama...di kedai kopi bergaduh, tengah makan kenduri pun boleh berbalah tentang Umno dan PAS.

Tiba-tiba keluar arahan suruh undi, mana mungkin mereka akan ubah sekelip mata," katanya seperti dipetik laman Umno Online.

Walau dengan gesaan pemimpin PAS itu, peratusan undi popular yang diraih calon HARAPAN Mohd Zawawi Ahmad Mughni meningkat berbanding keputusan PRU ke-14.

Pandangan Ismail Sabri senada dengan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari yang berkata eksperimen parti itu di PRK tersebut menunjukkan "tangan pengundi PAS tidak tergamak untuk mengundi Umno".

PRK pertama selepas pertukaran kerajaan itu menjadi medan ujian sulung mengukur kekuatan kerjasama Umno dan PAS. Ujian kedua pada PRK Seri Setia tak lama lagi.

Ismail yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Selangor berkata, keputusan PRK Sungai Kandis tidak melunturkan komitmen parti itu untuk memberi bantuan kepada calon PAS di Seri Setia.

"Saya telah mengeluarkan arahan untuk jentera Umno digerakkan bagi membantu PAS di PRK Seri Setia. Itu janji kita dan kekalahan Umno di Sungai Kandis tidak mengubah janji tersebut.

“Kita akan pastikan hubungan baik yang cuba dibina ini akan berkekalan," katanya lagi seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS