Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PARLIMEN | Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa bayaran balik GST tertangguh sehingga dua tahun kerana pentadbiran BN dulu "merompaknya".

"Apa yang sepatutnya dibayar dalam masa dua minggu tidak dibayar selama dua tahun, kerana wang yang dibayar sebagai pendahuluan tidak diletakkan dalam akaun dana yang disatukan dan dianggap sebagai hasil oleh kerajaan BN. Ia dianggap sebagai hasil dan digunakan oleh kerajaan dulu.

"Saya ingin beritahu, ia tidak merompak GST, tetapi merompak bayaran balik GST," katanya ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

"Ini perompakan serius, yang mana wang yang patut ada dalam akaun amanah tidak ada dalam akaun amanah.

"Bagaimana kerajaan sekarang boleh bayar (kepada pihak yang menuntut cukai input) kalau wang tak ada (dalam akaun)?" soalnya.

Awal bulan lalu, Lim berkata penangguhan bayaran balik GST memberi kesan kepada aliran tunai banyak perniagaan, menyebabkan mereka tiada pilihan selain menaikkan harga.

'Di mana bukti?'

Sebelum itu Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) menegaskan kerajaan HARAPAN dapat mencapai matlamatnya dengan menambah baik sistem GST, bukan menggantikannya dengan SST.

Lim kemudian bertanya Khairy sama ada beliau tahu punca di sebalik penangguhan bayaran balik GST. Khairy berkata ia kerana pertikaian kastam.

"Adakah itu sebab yang diberitahu kepada anda? Saya terkejut dengan alasan Rembau, jika anda tidak faham mengapa bayaran balik GST tidak dibuat," kata Lim.

Khairy kemudian menggesa Lim mengemukakan bukti terhadap dakwaan "rompakan" itu.

Lim berkata beliau akan menunjukkannya ketika membentang usul memansuh GST esok.

Selepas bacaan kedua RUU Cukai Jualan 2018 diluluskan, Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) membangkitkan usul untuk membawa RUU itu ke jawatankuasa terpilih.

Usul itu ditolak selepas undian belah bahagi dibuat, dengan 111 undi membantah dan 51 undi menyokong, manakala empat berkecuali.

Susulan itu, bacaan ketiga RUU diluluskan tanpa bahas dan akan dibawa ke Dewan Negara.

Lihat Komen
ADS