Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontinjen parti politik tak dibenar sertai perbarisan Hari Kebangsaaan - MB NS
Diterbitkan:  Aug 8, 2018 5:54 AM
Dikemaskini: 10:33 PM

Kontinjen parti politik tidak dibenarkan terlibat dalam perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang akan disambut pada 31 Ogos ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Beliau berkata sambutan hari kemerdekaan negara seharusnya disambut secara bersama sebagai rakyat Malaysia dan bukannya diwakili mana-mana parti politik.

“Kali ini akan ada kelainan sedikit pada sambutan Hari Kebangsaan nanti… kita juga akan jemput Anggota Dewan Undangan Negeri daripada pembangkang untuk bersama meraikan sambutan Hari Kebangsaan, meskipun dahulu kita sebagai pembangkang tidak pernah dijemput untuk meraikannya bersama... namun terpulang pada mereka sama ada akan hadir mahupun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang bersempena Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di Seremban semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

Katanya hadiah wang tunai bagi peserta perbarisan akan ditambah iaitu johan akan menerima RM5,000 daripada RM3,000 sebelum ini, naib johan RM4,000 daripada RM2,000 dan tempat ketiga RM3,000 daripada RM1,000.

Aminuddin turut meminta orang ramai, bangunan kerajaan, sekolah dan premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

Pada majlis itu, beliau turut melepaskan 30 buah kenderaan melibatkan seramai 90 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta badan pertubuhan bukan kerajaan bagi Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sembilan.

Terdahulu, Aminuddin menaiki komuter dari Stesen Batang Benar hingga Stesen Seremban bagi menyerahkan bendera kepada orang ramai termasuk memasangnya pada kenderaan awam antaranya motosikal dan teksi.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS