Syarikat penerbangan boleh menetapkan pakaian pramugari yang menepati kehendak syariah Islam selagi ia mematuhi kriteria yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata antara keperluan bagi memperoleh sijil keselamatan ialah pakaian seragam yang dipakai oleh pramugara dan pramugari boleh menjalankan tugas-tugas keselamatan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Syarikat penerbangan bebas memilih pakaian seragam asalkan ia mampu menjalankan tugas semasa pengungsian kecemasan (emergency evacuation) dalam tempoh yang ditetapkan oleh CAAM dan International Civil Aviation Organization (ICAO).

“Keputusan komersial syarikat penerbangan itu berdasarkan kesesuaian dan imej korporat masing-masing,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu mengenai pakaian pramugari MAS yang sesuai dengan imej Malaysia yang mengamalkan Islam sebagai agama rasmi serta aspek pelanggaran syariah yang dikenal pasti.

Menurutnya, selari dengan identiti ‘Malaysian Hospitality’ yang diamalkan Malaysia Airlines Berhad (MAB), pakaian seragam baju kebaya yang diamalkan oleh pramugari adalah mencerminkan budaya Malaysia yang menonjolkan layanan mesra kepada pengguna penerbangan berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk yang menggesa kerajaan memainkan peranannya  dalam aspek pematuhan syariah, Kamarudin berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan jabatan yang berkaitan untuk meneruskan usaha itu.

“Beri peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan melalui Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perdana Menteri untuk meneruskan usaha ini (penetapan pakaian patuh syariah) dalam suasana negara yang tidak boleh memaksa sesiapa sekalipun memakai pakaian yang secara umum kita anggap senonoh,” katanya.