Berita Malaysiakini

Insentif KWSP untuk suri rumah dilaksana mulai minggu hadapan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Program Sukarela Insentif (SURI), yang membolehkan surirumah peluang menikmati sekuriti sosial yang berkualiti dan meningkatkan sekuriti pendapatan akan dilaksanakan dalam tiga fasa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, fasa satu akan bermula minggu hadapan pada 15 Ogos di mana anggota SURI boleh menyimpan minimum RM5 sebulan dalam akaun KWSP masing-masing dan kerajaan pula akan menyumbang RM40 sebulan.

“Buat permulaan, kumpulan sasaran bagi fasa satu terdiri daripada para surirumah kepada ketua isi rumah. Sasaran ketua isi rumah ialah lelaki berkahwin (bagi setiap isteri-isteri), ibu tunggal dan janda yang berdaftar dengan e-Kasih.

“Kerajaan berhasrat memastikan kebajikan orang ramai. Bagaimanapun, setiap rakyat perlu menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan taraf hidup, Sumbangan minimum RM5 setiap bulan di bawah program ini mewakilkan komitmen daripada orang ramai dan pada masa sama menyemai sifat suka menabung untuk masa hadapan mereka,” katanya hari ini.

Dalam ucapannya pada Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2018, Dr Wan Azizah berkata sumbangan kerajaan itu akan dinaikkan kepada RM50 pada fasa kedua insentif itu, di mana sejumlah RM10 akan diagihkan untuk perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO).

Dr Wan Azizah berkata, bagaimanapun, sebagai perlindungan di bawah PERKESO buat masa sekarang ia tidak diperluaskan kepada surirumah, kerana terdapat keperluan untuk membuat beberapa perubahan undang-undang bagi membolehkan fasa kedua boleh dilancarkan awal tahun hadapan.

Beliau berkata, program berkenaan akan dilanjutkan pula ke fasa ketiga di mana dua peratus daripada sumbangan KWSP suami akan dimasukkan dalam akaun isteri.

“Untuk sampai ke fasa ketiga ini akan mengambil masa kerana ia memerlukan pindaan dilaksanakan terhadap Akta KWSP 1991. Kita masih meninjau beberapa pilihan untuk tujuan ini, dengan mengambil kira beberapa faktor kewangan dan bukan kewangan,” katanya dan menambah bahawa kerajaan berharap dapat melancarkan fasa itu awal 2020.

Beliau berkata, insentif berkenaan adalah sebahagian daripada 10 Janji Pakatan Harapan dan yang kerajaan mampu penuhi janji itu dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, menerusi perkongsian strategik dengan KWSP dan PERKESO, kerajaan berharap dapat melihat lebih ramai wanita di negara ini mendapat perlindungan sosial dan sekuriti pendapatan yang mereka layak terima dan bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan kehormatan sepanjang usia emas mereka.

“Apa yang penting ialah mempelajari daripada kesilapan lepas dan memperkenalkan dasar berkesan yang boleh bertindak balas kepada keadaan ekonomi, penyelesaian bukan sahaja kepada kesan daripada keadaan semasa malahan bagi menguatkan persediaan menghadapi masa hadapan,” katanya.

Persidangan dua hari itu bertemakan “A Better Tomorrow” memberi peluang yang lebih kepada KWSP untuk menimba kepakaran daripada sejagat dari segi pertumbuhan dan kesejahteraan dunia, di samping memperbaiki kehidupan menerusi pengurusan pelaburan dan kekayaan.

Pada sidang media selepas merasmikan persidangan itu, Dr Wan Azizah berkata bagi fasa pertama seramai 359,065 wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih bakal menerima manfaat insentif itu.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk pelaksanaan fasa pertama itu bagi tempoh bermula minggu hadapan hingga hujung tahun ini.

- Bernama