Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes rasuah RM3.5 juta gegarkan JPM
Diterbitkan:  Aug 8, 2018 1:20 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Seramai 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah RM3.5 juta.

Majistret Siti Nabilah Abd Rashid mengeluarkan perintah reman hingga Ahad ini (12 Ogos) selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, kesemua lelaki berumur antara 31 dan 51 tahun itu tiba di mahkamah pada 9.15 pagi dengan menaiki sebuah bas serta berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Antara yang direman adalah seorang pegawai keselamatan gred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan gred 11 hingga 38.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek ditahan semasa hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, di Putrajaya semalam antara 2.45 hingga 3.15 petang dan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM840,700 dan sembilan motosikal pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan RM90,000.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS