Exco bagi ganti Shaharuddin dibincang lepas PRK Seri Setia
Individu bakal mengisi kekosongan jawatan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Baharudin sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, hanya akan dibincangkan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pada masa ini, beliau akan memangku portfolio Allahyarham sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan negeri, dengan dibantu anggota Exco lain.
“Siapa pengganti Allahyarham kita akan ambil masa sebab yang pentingnya kita juga harus mencari dan mengemukakan masa sesuai untuk majlis angkat sumpah Exco akan datang.
“Sekarang fokus saya pada PRK DUN Seri Setia, selepas itu saya akan berbincang dengan barisan kepimpinan bagi mengisi kekosongan jawatan Exco itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat Belanjawan 2019 di Shah Alam hari ini.
Shaharuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia daripada PKR, meninggal dunia pada 2 Ogos lepas, akibat kanser usus.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat esok bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk PRK kawasan berkenaan.

