Wanita Umno: Perkahwinan sejenis bermula dari menuntut hak
Desakan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk menuntut hak yang sama boleh menjadi permulaan bagi mengiktiraf perkahwinan sejenis di masa depan, kata Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad.
Beliau mengulas kenyataan aktivis sosial Marina Mahathir yang berkata komuniti LGBT hanya mencari hak yang sama seperti diperuntukkan oleh undang-undang dan bukan hak tambahan seperti perkahwinan sejenis.
"Benar kata Marina, hari ini mereka bukan minta perkahwinan sejenis tetapi apa akan jadi pada masa akan datang?
"Perkahwinan sejenis di negara-negara lain bermula dari perjuangan menuntut kononnya hak asasi sama rata untuk golongan LGBT," kata Noraini dalam satu kenyataan media hari ini.
Baca: LGBT hanya mahu hak sama seperti semua orang, tidak lebih
Noraini berkata, rakyat Malaysia termasuk komuniti LGBT tidak pernah dinafikan hak asasi mereka untuk menjalani kehidupan seharian.
"Kita menentang penghinaan dan diskriminasi terhadap golongan LGBT yang berusaha mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kekeliruan perasaan mereka, baik dari sudut spiritual mahupun perubatan.
"Namun sebagai wanita dan ibu, Wanita Umno tidak akan membenarkan golongan LGBT dihalalkan perlakuan songsang mereka dalam kalangan masyarakat kerana ini bukan jalan penyelesaian kepada isu LGBT," katanya,
Malah Noraini berkata, daripada perspektif lebih besar, LGBT yang bertentangan dengan nilai agama dan perlembagaan hanya akan merosakkan sistem sosial dan kekeluargaan di negara ini.
"Maka untuk menghalalkan golongan LGBT mengamalkan gaya hidup hubungan sesama jantina secara terbuka merupakan satu hak yang berlebihan untuk diminta dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia," katanya.
14 kali ganda dijangkiti HIV
Anggota parlimen Parit Sulung itu turut menambah dalam perkembangan terbaru, golongan LGBT dikesan sebagai kelompok tertinggi dijangkiti HIV.
Angka itu katanya mewakili 50 peratus kes baru dilaporkan sepanjang 2017.
"Ini berdasarkan laporan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan yang merekodkan sebanyak 1,697 individu yang mengamalkan tabiat seks songsang seperti homoseksual dan biseksual adalah sebahagian daripada 3,347 kes HIV baru dicatatkan pada tahun lalu.
"Lebih mengejutkan, jumlah tersebut adalah 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu yang mengambil dadah melalui perkongsian jarum suntikan (IDU) dijangkiti HIV yang sering diperkatakan sebagai punca utama penyebaran virus berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan kempen yang membolehkan LGBT mempraktikkan gaya hidup mereka secara bebas di negara ini.
Sebelum ini, menteri hal ehwal agama, Mujahid Yusof Rawa berkata meskipun LGBT tidak seharusnya didiskriminasi, mereka tidak seharusnya mencabar sistem nilai dan nilai di negara ini.

