Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Tuduhan baru ke atas Najib tiada kaitan 1MDB, kapal

Tuduhan tambahan dihadapi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tiada kaitan dengan kapal pesiar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan 1MDB, kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

"Saya mahu menegaskan (pendakwaan tersebut) tidak ada kaitan dengan 1MDB.

"Ia tidak ada kaitan dengan isu kapal layar yang tiba di Pelabuhan Klang semalam," katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Shafee turut mempersoalkan masa tuduhan dibuat terhadap anak guamnya pagi ini.

"Saya tidak tahu mengapa masa di buat dengan cara ini (ketika ketibaan kapal layar). Mungkin untuk mengelirukan isu ini," katanya.

Terdahulu, Shafee menjelaskan tiga pertuduhan baru di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 berkaitan empat pendakwaan terdahulu yang mana anak guamnya telah minta untuk dibicarakan.

Tuduhan terdahulu berkaitan SRC International Sdn Bhd - bekas anak syarikat bekas 1MDB yang diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2012.

"AMLA adalah sesuatu yang besar tetapi (dalam kes ini) ia secara tegas bermaksud hasil jenayah.

"Sebagai contoh, jika seseorang menerima rasuah sebanyak RM20,000 dan kemudian dia mengambil wang rasuah ini untuk mendepositkan ke akaunnya, atau dia menukarnya kepada USD itu adalah kesalahan pengubahan wang haram.

"Sekiranya pendakwaan utama digugurkan, pendakwaan Amla akan digugurkan secara automatik," katanya.

Secara kebetulan, kapal layar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan jutawan Jho Low tiba di Pelabuhan Klang dari Batam semalam.

Kapal itu diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia yang merampasnya pada Februari lalu sebagai sebahagian daripada saman oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Lihat Komen
ADS