Pemilihan MIC: 43 ketua bahagian tak layak bertanding
Parti pembangkang MIC melalui perubahan kecil dalam barisan kepimpinannya apabila seramai 43 ketua bahagian hilang kelayakan untuk mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti akan datang.
Menurut pindaan 2009 dalam perlembagaan MIC, ketua bahagian yang telah memegang jawatan selama tiga penggal berturut-turut secara automatik tidak layak bertanding lagi.
"Oleh itu, dalam pemilihan ini, 43 ketua bahagian dibatalkan kelayakan.
"Bagaimanapun, mereka boleh bertanding untuk jawatan lain di bahagian lain," kata sumber parti itu kepada Malaysiakini.
Beliau juga berkata ini bermakna 43 ketua bahagian baru akan dipilih bagi penggal 2018-2021.
Sumber itu juga menyatakan Perak mencatatkan paling ramai ketua bahagian dibatalkan kelayakan mereka iaitu seramai 10 orang, diikuti Pahang (tujuh), Selangor (lima) dan Johor dan Kedah dengan empat bahagian.
Perubahan ini juga melibatkan tiga bahagian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dua di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Empat lagi pemimpin dari Terengganu, Kelantan, Perlis dan Labuan.
Untuk rekod, badan perhubungan MIC di Sabah dibubarkan selepas BN kalah dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei.
Ketua Bahagian MIC Port Dickson R Balakrishnan menyambut baik langkah meminda perlembagaan parti dengan mengatakan ia akan memberi laluan kepada wajah baru.
"Saya menyokong langkah itu untuk mengehadkan tempoh ketua bahagian. Ini akan secara berperingkat, mengubah wajah MIC, yang setakat ini telah diwakili oleh muka lama," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Pemilihan MIC ditetapkan secara berperingkat mulai 10 Ogos hingga 12 Ogos ini.

