Kerajaan diminta menyiasat bagaimana kumpulan muzik "Black Metal Mayhem" yang bertuhankan syaitan dibenarkan masuk dan mengadakan konsert di negara ini pada tahun depan.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berkata, konsert itu dijadual diadakan di Backroom, Kuala Lumpur pada 4 Februari depan.

"Iklan mengenai konsert itu telah disiarkan dalam akhbar tempatan," katanya sewaktu sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara itu memandangkan dadah merupakan agenda utama kumpulan muzik dari Norway itu.

Katanya, maklumat mengenai kumpulan itu boleh diperolehi melalui lamanweb www.shyaithan.com .

Penyeludupan dadah

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar berkata, walaupun kemasukan kumpulan itu ke negara ini bukan dalam bidangkuasa kementerian itu, beliau akan mengemukakan perkara itu kepada pihak berkaitan.

"Kemasukan kumpulan itu bukan dalam bidangkuasa kita tapi pandangan mengenai perkara ini saya akan ambil perhatian dan bawa kepada pihak yang berkenaan," katanya.

Menjawab soalan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai langkah yang diambil untuk menghalang penyeludupan dadah ke negara ini, Noh berkata, kerajaaan telah melaksanakan pelbagai langkah penguatkuasaan undang-undang berhubung pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, selain hukuman gantung, Malaysia juga mengamalkan hukuman tangkap tanpa bicara berhubung kesalahan pengedaran dadah.

Katanya, pada tahun ini, lebih 1,000 pengedar dadah telah ditangkap tanpa bicara manakala pada tahun lalu kira-kira 2,700 ditangkap kerana kesalahan yang sama.